suria

Malaysia Terima Permohonan Ekstradisi Dari Semasa Ke Semasa - Hishamuddin

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Malaysia sentiasa menerima permintaan ekstradisi dari negara luar untuk menghantar penjenayah yang ditahan oleh polis atau imigresen bagi dihadap ke muka pengadilan di negara berkenaan.

"Hampir setiap bulan, malah dari Amerika yang membabitkan bukan warganya pun ada, tapi saya tidak boleh dedahkan dengan lebih terperinci maklumat risikan mengenainya," katanya.

Menurutnya, selain dua individu yang dikehendaki negara Amerika itu, awal tahun ini juga menyaksikan Malaysia menahan dan menghantar pulang beberapa individu yang dikehendaki di Singapura.

Bercakap pada sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini pada Khamis, beliau berkata, Malaysia sentiasa bertegas dalam perkara itu, bagi mengelak daripada dianggap sebagai tempat transit oleh penjenayah merentasi sempadan mahupun pengganas.

Beliau berkata, dasar Malaysia adalah jelas, ia tetap tidak akan membenarkan mana-mana pihak melihat Malaysia sebagai pengkalan atau tempat untuk merancang aktiviti jenayah.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, Malaysia telah menerima permohonan ekstradisi daripada Thailand, terhadap seorang rakyat Iran yang merupakan suspek dalam tiga kejadian letupan bom minggu lepas di Bangkok, Thailand.

"Saya yang minta pihak berkuasa Thailand buat permohonan itu segera, kalau ada permintaan lebih awal, kita boleh hantar (rakyat Iran itu) lebih awal," katanya.

Dua hari lepas, Menteri Luar Thailand Thani Thongpakdi dilaporkan berkata, Bangkok secara rasmi menghantar permohonan ekstradisi melalui kedutaan Thailand di Kuala Lumpur.

Masoud Sedaghat Zadeh, 31, ditahan pada pukul 3.30 petang 15 Feb lepas di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di bawah Akta Imigresen ketika hendak berlepas ke Iran, selepas tiba dari Thailand pada malam sebelumnya.

Hishammuddin seterusnya berkata, Kementerian Dalam Negeri sedang memberi tumpuan kepada usaha menangani masalah berkaitan kanak-kanak jalanan yang tidak memiliki status warganegara.

Beliau berkata, masalah ini banyak dikesan di Sabah, dan beberapa bandar besar dalam negara, kebanyakannya membabitkan kanak-kanak yang ditinggal begitu sahaja oleh ibu bapa, tanpa dokumen kelahiran.

Menurutnya, jika masalah mereka tidak ditangani awal, mereka akan membesar dalam keadaan dinafikan daripada pelbagai keperluan penting seperti taraf kewarganegaraan, pendidikan, perubatan, dan banyak lagi.

Terdahulu dalam ucapannya, Hishammuddin berkata bagi tempoh antara Januari dan November lepas, jenayah indeks menurun 16,761 kes, iaitu berkurangan 10.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Dari segi jenayah jalanan pula peningkatan kehadiran polis dan sukarelawan seperti RELA dan Jabatan Pertahanan Awam menyebabkan penurunan 14,226 kes, iaitu pengurangan 40.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

"Saya gembira kerana pencapaian negara turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Misalnya laporan World Justice meletakkan Malaysia di tempat paling selamat di kalangan 19 negara berpendapatan sederhana atas, dan ke-12 paling selamat di dunia, mengatasi kedudukan Amerika Syarikat dan Great Britain," katanya.

Menurutnya, Indeks Keamanan Global pula meletakkan Malaysia sebagai negara paling selamat dan paling aman di Asia Tenggara, negara paling selamat di rantau Asia Pasifik dan negara ke-19 paling selamat di seluruh dunia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain