suria

Lagi Pokok Gaharu Ditebang Secara Haram Di Hutan Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Aktiviti penebangan pokok gaharu secara haram dilihat masih berterusan tanpa henti meskipun perkara itu mendapat liputan meluas daripada media dan pengumuman kerajaan negeri untuk mengenakan tindakan keras terhadapnya.

Insiden terbaru melibatkan beberapa pokok gaharu di Bukit Gambier berhampiran Taman Pulau di sini.

Seorang pelari veteran dari Hash House Harriers, Gurdial Singh, 52, menjumpai kira-kira 20 pokok ditebang di mana sebahagiannya adalah pokok gaharu pada Selasa sewaktu dia sedang menetapkan laluan berlari untuk kumpulannya.

“Semua pokok itu dari satu kawasan, bukannya merata-rata dalam hutan.

“Saya fikir mereka telah menebangnya kira-kira seminggu lalu bila melihat keadaan dan warna pada batangnya,” katanya pada Rabu yang menjelaskan pokok-pokok itu telah ditebang menggunakan gergaji.

Gurdial berkata, dia turut menjumpai karung guni, pek makanan tengah hari, beg plastik dan botol minuman di kawasan sekitar.

Dia berkata, kawasan berkenaan adalah hijau dan rendang apabila melaluinya pada Disember lalu.

"Tempat ini adalah kira-kira 90 minit dari pintu masuk di Jalan Tembaga dan Jalan Masjid Negeri,” katanya.

Akhbar Sunday Star bertarikh 12 Februari melaporkan terdapat dakwaan sindiket tempatan yang mempunyai kaitan dengan luar negara melakukan aktiviti penebangan pokok-pokok gaharu yang sangat bernilai secara haram di hutan berhampiran Taman Botani, Pulau Pinang dan beberapa tempat lain.

Minyak yang diekstrakkan daripada gaharu digunakan untuk perbuatan dan minyak wangi yang menawarkan harga tunggi di Timur Tengah.

Gurdial menekankan perkara itu kepada pemberita apabila menemui pokok-pokok gaharu yang ditebang sewaktu berlari dalam hutan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata pada Rabu terdapat operasi bersama pihak polis untuk membanteras aktiviti itu kerana ia merupakan sesuatu yang serius.

“Ketua Menteri (Lim Guan Eng) mempunyai satu pasukan khas yang terdiri daripada agensi-agensi berkaitan untuk menyiasat akviti haram di hutan,” katanya yang tidak lama lagi akan mengeluarkan satu kenyataan akhbar mengenai operasi bersama itu.

Penolong Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, Azahar Ahmad berkata, beliau juga akan mendapatkan pasukan khas untuk melakukan siasatan.

Beliau menambah, orang ramai juga boleh menghubungi talian 24 jam jabatan itu di 04-826 2716 sekiranya mereka mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti haram di hutan.

Orang ramai juga boleh menghubungi 04-650 5250, 017-590 9909 atau 016-931 8059 untuk melaporkan mengenai penebangan haram.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain