suria

Dewan Ulama PAS Sepatutnya Berani Tegur Sikap Nik Aziz – Syed Ali

PETALING JAYA: Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee meminta supaya Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib menjelaskan pendirian parti itu berhubung sokongan Anwar Ibrahim terhadap rejim Israel.

“Nik Aziz nampaknya takut untuk bersuara menentang Anwar secara terbuka, sebaliknya hanya mengulangi kenyataan retorik PAS menentang kekejaman Israel,” katanya dalam blog Umno Bahagian Cheras pada Khamis.

Syed Ali berkata, Nik Aziz dalam pertemuan dengan Anwar itu, hanya menegaskan pendirian Pas yang sama sekali tidak mengiktiraf regim Israel.

“Tetapi Nik Aziz langsung tidak menyebut apakah tindakan yang bakal diambil terhadap Anwar termasuk kedudukan PAS dalam pakatan pembangkang setelah kata dua beliau diperlekehkan,” tegasnya lagi.

Justeru itu, Syed Ali berkata, walaupun Majlis Syura mengetuai organisasi tertinggi parti itu, tetapi Dewan Ulama boleh menegur sikap Nik Aziz yang dilihat sekadar ‘bersandiwara’ berhubung isu berkenaan.

“Jika mereka (Dewan Ulama) jadi pak turut, bermakna mereka juga turut bersekongkol dengan kekejaman rejim Yahudi sepertimana sokongan Anwar,” katanya.

Beliau berkata, Harun sebagai Ketua Dewan Ulama tentunya lebih rasional dan berfikiran positif dalam isu sokongan Anwar terhadap rejim Yahudi sepertimana dilaporkan oleh akhbar The Wall Street Journal (WSJ).

“Saya fikir Haji Harun pun dapat membuat kesimpulan apa yang berlaku setelah pertemuan Anwar dengan Nik Aziz,” katanya.

Syed Ali mengatakan bahawa Dewan Ulama PAS dilihat hanya lebih menjaga kepentingan politik Nik Aziz dalam permasalahan yang membabit isu sensitif yang telah menimbulkan kemarahan umat Islam.

Beliau turut menyelar sikap ahli-ahli PAS yang terlalu taksub kepada Nik Aziz sehingga apa yang dikatakan olehnya akan dianggap benar dan tidak berani menyanggah jika ada kesilapan.

“Nik Aziz hanya manusia biasa, bukannya bertaraf wali atau kenabian, tidak semua apa yang dibuatnya betul dan mendatangkan faedah kepada umat Islam, contohnya dalam isu Anwar dan rejim Israel,” tegasnya.

Malah Syed Ali mendakwa, jika Nik Aziz benar-benar berpegang kepada ajaran Islam dia tidak akan mengkafirkan orang UMNO atas alasan berkawan dengan bukan Islam khususnya MCA, tetapi menghalalkan PAS yang bersekongkol dengan DAP.

Beliau berkata, sikap itu mengesahkan bahawa pendirian politik Nik Aziz tidak pernah konsisten dan kenyataannya berbelit-belit terutama membabitkan kepentingan umat Islam dan orang Melayu di negara ini.

“Apa sahaja yang dilakukan pembangkang khususnya oleh Anwar, beliau akan kata betul manakala semua yang UMNO dan kerajaan lakukan disifatkannya sebagai mungkar,” kata beliau.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain