suria

Bai'ah PAS Ikut Cara Islam & Hukum Syarak - Dewan Ulama

PETALING JAYA: Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib menegaskan, sumpah taat setia atau bai'ah yang diamalkan parti itu tidak bertentangan dengan Islam kerana pelaksanaannya mengikut syariat dan hukum syarak.

Jelas beliau, amalan berbai'ah dalam PAS dibuat berpaksikan kepada dua teras utama iaitu ketaatan kepada Islam dan kesetiaan kepada pemimpin.

"Tak ada salahnya di sisi Islam amalan bai'ah yang dilakukan PAS. Sumpah yang dilafazkan hanya menyebut bahawa individu berkenaan tidak akan mengkhianati perjuangan parti serta perjuangan Islam," katanya kepada mStar Online di sini, Khamis.

Beliau mengulas mengenai pandangan beberapa pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berpendapat amalan bai'ah hanya patut dibuat kepada Allah dan bukannya kepada pemimpin mereka yang berminat untuk menang pilihan raya.

Malah Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya turut melahirkan kebimbangan kerana menurut beliau, bai'ah boleh menjadi haram dan berdosa sekiranya terma yang terkandung di dalamnya melanggar hukum Islam dan lebih menjurus kepada kepentingan parti atau pemimpin.

Menurut Dr Juanda, tidak salah bagi mana-mana individu untuk berbai'ah selagi sumpah taat setia dinyatakan itu tidak terkeluar daripada syariat dan peraturan Islam seperti amalan bai'ah menceraikan isteri dengan talak tiga sebagai tanda kesetiaan kepada parti.

Bagimanapun Harun menegaskan kandungan sumpah bai'ah yang diamalkan PAS tidak mengandungi unsur sedemikian.

"Tak ada...tak ada sumpah sedemikian. Kita tak minta pemimpin yang nak bertanding dalam pilihan raya bersumpah untuk gadaikan hubungan kekeluargaan.

"Sumpah hanya untuk ikrar taat setia kepada parti dan Islam, tidak lebih daripada itu," katanya.

Baru-baru ini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan bahawa setiap calon PAS yang bertanding dalam pilihan raya akan datang akan diwajibkan berbai'ah bagi menentukan calon tidak menyeleweng dari dasar Islam, cara dan matlamatnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain