suria

Umno Sedia Berdialog, Bincang Dengan Semua NGO Termasuk Jati

SHAH ALAM: Umno sentiasa membuka ruang dan bersedia untuk berdialog dengan semua badan bukan kerajaan (NGO) termasuk JATI dalam semua hal terutamanya isu semasa membabitkan kepentingan bangsa dan agama.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata Umno mengalu-alukan mana-mana sahaja NGO yang mahu berjumpa dengan parti tunjang pemerintah bagi mendapatkan penjelasan atau berbincang tentang sebarang isu semasa ataupun kekeliruan berhubung sesuatu perkara di peringkat kerajaan mahupun parti itu.

"Kita terima sesiapa sahaja, Umno tidak memilih mana-mana NGO walaupun NGO daripada bangsa lain dalam membincangkan hal-hal bagi kebaikan bersama," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah sempena Program Rapat Umum 1Malaysia bersama Warga Pendidik di sini, Rabu.

Seramai 389 guru daripada sekolah-sekolah Bahagian Kapar hadir pada majlis penerangan itu.

Mengenai JATI yang dilancarkan Selasa, Ahmad berkata beliau yakin NGO itu mampu memainkan peranannya bagi memperjuangkan Islam, Melayu dan Institusi Raja berdasarkan pimpinan badan berkenaan.

Beliau berkata JATI yang dibarisi oleh pemimpin seperti Datuk Dr Hasan Ali boleh bergerak jauh dengan perjuangan mereka.

"Saya ucapkan selamat berjaya kepada JATI. Kita mempunyai beribu NGO dan kesemua mereka boleh memainkan peranan untuk sama-sama memastikan negara terus aman dan harmoni," katanya.

JATI atau nama penuhnya Jalur Tiga dilancarkan secara rasmi pada Selasa dengan slogan "Gerakan Martabatkan Umat" dalam usaha memperjuangkan kedaulatan Islam, Melayu dan Institusi Raja. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain