suria

TPM Lakukan Lawatan Kerja Dua Hari Ke Sarawak Mulai Jumaat

KUCHING: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan melakukan lawatan kerja selama dua hari ke Sarawak pada Jumaat dan Sabtu ini dengan mengadakan beberapa pertemuan bersama pemimpin masyarakat serta rakyat di kawasan parlimen Bintulu, Selangau dan Baram.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), dijadual mengadakan perjumpaan tertutup dengan parti-parti komponen BN dan kemudian bersolat Jumaat bersama penduduk Kampung Jepak di Bintulu sebelum menyertai majlis kenduri rakyat di perkarangan Masjid Jepak.

Beliau, yang ditemani isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, akan bersama-sama dengan rakyat kawasan parlimen Selangau di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tong Ah, Selangau pada sebelah petang, menurut kenyataan Jabatan Penerangan Sarawak di sini, Rabu.

Kemudian, beliau akan menghadiri majlis makan malam pemimpin bersama rakyat di Dewan Suarah, Bintulu.

Pada Sabtu, Muhyiddin akan berlepas ke Miri untuk menghadiri program transformasi luar bandar Parlimen Baram dengan mengadakan lawatan ke Kampung Long Beruang dan Kampung Long Peluan.

Semasa di Kampung Long Beruang, Ulu Baram, Muhyiddin antara lain dijadual menyerahkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), meninjau kemudahan kraftangan, tadika, teknologi komunikasi dan maklumat serta membuat tinjaun mesra di sekitar rumah panjang.

Muhyiddin serta rombongan kemudian akan melawat rumah panjang masyarakat Kelabit di Kampung Long Peluan dan dijangka membuat tinjauan di Menara Telekomunikasi TIME 3, serta melepaskan anak-anak ikan empurau di Sungai Bale selain mengadakan majlis pemimpin bersama rakyat.

Beliau kemudiannya akan menghadiri satu lagi majlis pemimpin bersama rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinjar, Pekan Lapok di daerah Bakong, Miri.

Sementara itu, Noorainee yang mempunyai jadual berasingan akan mengadakan lawatan ke Bintulu Port Sdn Bhd pada pagi Jumaat sebelum bersama-sama Muhyiddin dalam kenduri rakyat di Masjid Jepak.

Timbalan Perdana Menteri dan isteri dijadual berlepas pulang ke ibu negara pada sebelah petang Sabtu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain