suria

Suspek Bom Di Bangkok: Tunggu Keputusan Jabatan Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Thailand perlu menunggu keputusan Jabatan Peguam Negara untuk mengekstradisi seorang warga Iran, Masoud Sedaghat Zadeh ke negara itu, yang ditahan di sini kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa siri pengeboman di Bangkok minggu lepas.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata permohonan pihak berkuasa Thailand akan diteliti oleh pihak Peguam Negara daripada aspek undang-undang sama ada proses ekstradisi boleh dilaksanakan.

"Selepas keputusan itu dibuat pihak Jabatan Peguam Negara akan memaklumkan kepada Jabatan Imigresen bagi tindakan selanjutnya kerana Masoud ditahan di bawah Akta Imigresen," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Rabu.

Bernama semalam melaporkan jurucakap Menteri Luar Thai Thani Thongpakdi sebagai berkata Bangkok secara rasmi menghantar permohonan ekstradisi seorang rakyat Iran yang merupakan suspek dalam tiga kejadian letupan bom di bandar raya itu minggu lepas.

Jurucakap itu berkata permohonan rasmi itu dihantar melalui kedutaan Thailand di Kuala Lumpur semalam.

Masoud, 31, ditahan pada 3.30 petang 15 Februari lalu di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di bawah Akta Imigresen ketika hendak berlepas ke Iran, selepas tiba dari Thailand pada malam sebelumnya.

Beliau ditahan atas permintaan Bangkok kerana hasil maklumat risikan dari Agensi Perisikan Kebangsaan Thailand yang mengesyaki Masuod terlibat bersama-sama dua suspek serangan bom yang ditangkap di Bangkok. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain