suria

Polis Tahan 171 Orang, Rampas Lebih 370 Mesin Judi Berkomputer

GEORGE TOWN: Polis menahan 171 orang yang dipercayai penjaga premis perjudian berkomputer haram dalam beberapa operasi yang dijalankan di sekitar daerah Timur Laut dari awal Januari ini sehingga Selasa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata tangkapan itu hasil serbuan berasingan di sekitar George Town dalam operasi yang bertujuan membanteras kegiatan judi haram terutama melibatkan mesin judi berkomputer.

Katanya, setakat tahun ini, polis menjalankan 271 serbuan dan merampas lebih 370 set komputer yang bernilai lebih RM740,000 dalam daerah yang sama.

"Siasatan awal mendapati kebanyakan yang ditahan hanya penjaga premis dan polis masih berusaha untuk mengenal pasti individu bertanggungjawab mengendalikan aktiviti haram ini," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Katanya, kebanyakan aktiviti perjudian berkomputer yang beroperasi secara haram di negeri ini melibatkan sindiket dan menggunakan sistem yang berteknologi tinggi.

"Mereka (sindiket perjudian) ini akan mematikan sistem berkomputer mereka sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa di premis mereka dan ini menyukarkan pihak berkuasa untuk menyiasat rekod aktiviti mereka," katanya.

Sementara itu, Gan berkata dalam operasi 'Ops Dadu' yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) daerah Timur Laut pada Selasa, polis menahan tiga lelaki tempatan yang dipercayai penjaga premis perjudian berkomputer.

Katanya, dalam tiga serbuan di sekitar Sungai Nibong, polis turut merampas 35 mesin perjudian berkomputer haram dan menahan tiga lelaki yang dipercayai pelanggan premis berkenaan.

Sepanjang tahun lepas, beliau berkata polis melakukan 473 serbuan, 25 tangkapan dan merampas hampir 2,000 set komputer bernilai lebih kurang RM3.9 juta berhubung aktiviti perjudian berkomputer haram ini.

"Daripada kesemua suspek yang ditahan, suspek-suspek yang beragama Islam akan dihantar Bahagian Agama dan Kaunseling (Baka) untuk diberi nasihat," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain