suria

Polis Percaya Kes Pembunuh Di Serdang Berjaya Diselesaikan

SHAH ALAM: Polis Selangor percaya mereka telah berjaya menyelesaikan kes bunuh seorang pekerja wanita syarikat teknologi maklumat yang ditemui mati di dalam keretanya sendiri di Serdang baru-baru ini.

Ini berikutan tertangkapnya suspek berusia 33 tahun yang juga merupakan seorang kontraktor.

Mendiang Goh Chew Ping telah ditemui mati dengan kesan tikaman pada leher di tempat duduk penumpang hadapan keretanya sendiri pada 3 Febuari lalu di Serdang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Penolong Komisioner Kanan (SAC) Mohd Adnan Abdullah berkata, mereka kini telah mengenalpasti hanya terdapat seorang sahaja suspek dalam kes ini.

Beliau berkata, pihak polis telah menyelesaikan kes ini apabila mereka berjaya mengesan mengesan telefon bimbit mangsa yang dijual di sebuah kedai pajak gadai di Klang.

“Selepas meneliti rekod jualan, kami telah berjaya mengesan dan menjejaki suspek sehingga ke kediamannya di Apartmen Putra Perdana di Puchong.

"Suspek telah berjaya ditahan polis pada jam 7.10 malam Selasa,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor di sini.

SAC Adnan juga memberitahu, suspek memang mempunyai dua rekod jenayah sebelum ini termasuk rompakan.

“Kami telah pun berjaya memperolehi arahan reman tujuh hari ke atas suspek dan percaya kes ini adalah kes rompak dan bunuh," jelasnya.

Artikel Berikut

Artikel Lain