suria

Peniaga Hidupan Liar Bebas Daripada Penjara

PUTRAJAYA: Kehidupan peniaga hidupan liar Anson Wong Keng Liang sebagai banduan berakhir pada Rabu apabila Mahkamah Rayuan meluluskan rayuannya agar hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya kerana kesalahan mengeksport ular Boa Constrictor tanpa permit, dikurangkan.

Hakim Datuk Wira Low Hop Bing, yang mempengerusikan panel tiga hakim, mengurangkan hukuman penjara terhadap Wong daripada lima tahun kepada 17 bulan, 15 hari.

Panel itu, yang turut dianggotai Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Datuk K.N.Segara dan Datuk Azahar Mohamed, berpendapat hukuman penjara 17 bulan, 15 hari yang dijalani Wong dari 7 September 2010 hingga hari ini, sudah memenuhi kepentingan keadilan.

Mahkamah itu meluluskan rayuan Wong untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menambah hukuman penjara terhadapnya daripada enam bulan kepada lima tahun. "Perayu (Wong) akan keluar dari mahkamah ini sebagai seorang yang bebas hari ini berikutan hukuman penjara yang telah dijalaninya," kata Low.

Low berkata dalam menambah hukuman penjara terhadap Wong, Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam memberi pertimbangan terhadap fakta tertentu seperti perbuatannya memasukkan 95 ular berkenaan ke dalam beg kecil telah menyeksa reptilia itu.

Katanya hakim Mahkamah Tinggi berkenaan juga terkhilaf apabila membuat pertimbangan berhubung dua ekor ular jenis rhinocerous viper (yang ditemui di dalam beg Wong), sedangkan perkara itu tidak terkandung dalam pertuduhan terhadap peniaga berkenaan dan hakikat bahawa Wong bersikap tamak dan hanya mengutamakan keuntungan.

Low berkata tuduhan yang dikenakan terhadap Wong ialah mengeksport 95 ekor Boa Constrictor tanpa permit dan oleh itu sebarang pertimbangan lain adalah di luar tuduhan itu, yang membenarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.

Panel hakim itu juga mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi dalam mengetepikan denda RM190,000 yang dikenakan terhadap Wong oleh Mahkamah Sesyen Sepang kerana ia melebihi had RM10,000 yang boleh dikenakan oleh sesebuah Mahkamah Sesyen.

Pada 24 Jan tahun lepas, peniaga berusia 53 tahun itu dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 4 November, 2010

yang menambah hukuman penjara terhadapnya daripada enam bulan kepada lima tahun. Pada 6 September tahun lepas, Mahkamah Majistret Sepang menjatuhi hukuman penjara enam bulan terhadap Wong serta denda RM190,000 setelah peniaga dari Pulau Pinang itu mengaku bersalah mengeksport secara haram spesies ular terancam itu di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang pada pukul 8.50 malam, 26 Ogos 2010.

Wong transit di KLIA dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Jakarta ketika ular berkenaan dijumpai di dalam beg pakaiannya. Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman penjara lima tahun terhadap Wong setelah meluluskan rayuan pihak pendakwaan agar dia dikenakan hukuman lebih berat.

Bagaimanapun, mahkamah itu mengetepikan hukuman denda RM190,000.

Wong diwakili peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain