suria

Pendapatan Petani Mada Dijangka Meningkat Lima Kali Ganda Pada 2020

ALOR SETAR: Pendapatan petani di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dijangka meningkat lebih lima kali ganda menjelang 2020 selepas kerajaan melaksanakan Projek Permulaan (EPP) 10 melalui program Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Timbalan Pengurus Besar (Pertanian) Mada Datuk Roslee Baharom berkata sasaran itu dapat dicapai jika mereka diambil bekerja untuk mengendalikan ladang berskala besar.

"Sekarang ini, pendapatan purata petani di kawasan Mada ialah RM27,000 setahun atau lebih RM2,000 sebulan iaitu 90 peratus daripadanya adalah daripada hasil padi.

"Kita mensasarkan peningkatan sehingga lima kali ganda kerana ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk menuju status negara maju berpendapatan tinggi suatu masa kelak," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat transformasi pertanian padi negara bersama Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di Ibu Pejabat Mada di sini, Rabu.

Beliau berkata pelaksanaan EPP 10 yang dirangka oleh kerajaan adalah untuk menggalakkan penanaman padi berskala komersial, memperbaiki kepadatan pengairan dan mempercepatkan penggunaan teknologi baru dengan matlamat untuk mempertingkatkan hasil padi kepada lapan tan sehektar menjelang 2020.

"Mada akan menubuhkan satu subsidiari yang melibatkan keseluruhan rantaian nilai padi daripada pembekalan biji benih sehinggalah pemprosesan beras serta pemborongan.

"Subsidiari yang akan ditubuhkan pada tahun ini akan dimiliki bersama peladang-peladang yang menyertai skim penyumberluaran tanah dan pemegang berkepentingan sektor swasta lain," kata Roslee.

Beliau berkata Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) akan menjadi operator kepada subsidiari itu di kawasan masing-masing.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pelaksaan projek estet padi pengurusan berpusat yang dirintis oleh kira-kira 2,900 petani melibatkan keluasan penanaman 5,000 hektar musim kedua tahun ini berjalan lancar dan berjaya meningkatkan hasil pengeluaran.

"Kejayaan itu telah menarik minat lebih ramai pesawah untuk menyertai projek berkenaan dan kami mensasarkan untuk membangunkan 50,000 hektar kawasan estet padi menjelang 2020," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain