suria

Mufti Perak Minta Melayu Kembalikan Kedaulatan Bangsa, Negara

SHAH ALAM: Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria meminta orang Melayu supaya berusaha mengembalikan kedaulatan bangsa dan negara agar tidak dihina oleh pihak lain.

Sambil menyatakan rasa kesalnya terhadap perbuatan segelintir orang Melayu yang mempertahankan tindakan pihak tertentu memperlekeh dan mempersenda Islam, beliau berkata umat Islam sepatutnya bersatu mempertahankan akidah mereka.

"Setiap orang Islam wajib berjihad untuk pertahankan agama Allah dan kita wajib bersatu untuk pertahankan akidah orang Islam tanpa sebarang kompromi," katanya ketika berucap pada pelancaran badan bukan kerajaan (NGO), Jalur Tiga (Jati), oleh presidennya Datuk Dr Hasan Mohamed Ali di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, Selasa.

Beliau juga sebak ketika berucap di hadapan hampir seribu orang yang menghadiri pelancaran Jati yang berslogan 'Gerakan Martabatkan Umat'.

Harussani berkata penubuhan Jati bertujuan mempertahankan agenda Islam, Melayu dan kedaulatan Raja bersesuaian dengan keadaan semasa yang memperlihatkan orang Melayu semakin berpecah belah.

Menjelaskan mengenai sinonimnya raja dengan agama Islam dan Melayu, beliau berkata kerajaan Melayu ditubuhkan oleh raja, dan raja merupakan golongan yang terawal menerima Islam.

Justeru, katanya raja tidak boleh dipisahkan daripada Melayu dan Islam.

"Raja ialah kekuatan kita dan jika Raja ditarik kuasa maka akan rosak dan hilanglah bangsa Melayu.

"Ada kata bila kita cakap pasal bangsa Melayu, kita dikatakan nasionalis dan bila kita pertahankan bangsa bukan bermaksud kita taksub. Memang kita wajib pertahankan sebab negara ini ialah negara Melayu," katanya.

Sementara itu, Senator Mohamad Ezam Mohd Noor ketika ditemui pemberita berpendapat penubuhan Jati tidak bertentangan dengan asas pembangunan negara dan tidak ada sebab NGO itu perlu ditolak.

"Tidak ada mana-mana organisasi atau parti yang mampu menyelesaikan cabaran menyatupadukan orang Melayu dengan sendiri, justeru saya rasa kehadiran Jati dilihat sebagai pelengkap dan bukan saingan kepada mana-mana organisasi atau parti," katanya.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan itu juga tidak menolak kemungkinan untuk menyertai Jati dalam masa terdekat. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain