suria

Lebih 1,500 Kes Denggi Dilaporkan Di Selangor

SHAH ALAM: Sejumlah 1,581 kes denggi direkodkan di Selangor setakat Sabtu lepas (18 Februari) berbanding 1,126 kes yang dicatatkan pada keseluruhan tahun 2011, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor Dr Xavier Jayakumar.

Beliau berkata Petaling merupakan daerah yang mencatatkan kes tertinggi iaitu 479 kes, diikuti Hulu Langat (434 kes), Klang (328 kes) dan Gombak (173 kes).

"Kajian pemeriksaan premis untuk pembiakan Aedes yang dijalankan sehingga 11 Februari 2012 telah menunjukkan kadar pembiakan Aedes yang tinggi ialah di tanah/lot kosong (65 peratus) dan tapak pembinaan (52 peratus)," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, Rabu.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan kawalan pembiakan nyamuk akan giat dijalankan sepanjang tahun ini sebagai salah satu strategi utama untuk mencegah dan mengawal penularan denggi di Selangor termasuk kompaun maksima RM500 terhadap premis yang dijumpai ada pembiakan Aedes.

Setakat 11 Februari tahun ini sebanyak 419 kompaun berjumlah RM207,004 telah dikeluarkan dan dua tapak binaan telah ditutup kerana menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes, katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain