suria

Isu Israel: PAS Wajar Tolak Kepimpinan Anwar - Fairus

KUALA LUMPUR: Pas sepatutnya menolak kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat kerana pendirian Ketua Pembangkang itu jelas menyimpang daripada prinsip parti itu berhubung perjuangan rakyat Palestin dan rejim Tel Aviv, kata bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti itu berkata kenyataan Anwar mengenai sokongan terhadap keselamatan Israel memaparkan perbezaan ketara berhubung soal prinsip antara Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Pas seharusnya membuat pendirian tegas menolak kepimpinan Anwar dan menolak Pakatan Rakyat. Malangnya, kita melihat ada pula sesetengah pimpinan Pas menyatakan bahawa dalam Pakatan Rakyat perlu ada perbezaan pandangan.

"Apakah ini perbezaan pandangan yang hendak dipertahankan oleh Pas? Ini bukan perbezaan pandangan biasa. Ini satu kesalahan yang amat berat, satu pelanggaran terhadap akidah Islamiah terhadap soal benteng iman seorang Islam bila mana menyatakan sokongan dalam bentuk apa pun kepada negara haram Israel," katanya kepada Bernama pada Rabu.

Menurut Mohammad Fairus, perkembangan terbaru itu seharusnya telah membuka mata rakyat terhadap sifat kepimpinan Anwar, malah tambahnya, turut memberi kesan di kalangan banyak negara Islam.

Semalam, Anggota Parlimen Permatang Pauh itu berkata Menteri Besar Kelantan Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memahami penjelasan beliau berhubung kenyataannya yang menyokong keselamatan Israel seperti yang dilaporkan The Wall Street Journal (WSJ).

Sebaliknya, hari ini Nik Aziz dalam kenyataannya berkata Pas tetap tidak mengiktiraf "negara haram" Israel.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali pula menyifatkan Anwar berjaya "mempermainkan" Menteri Besar Kelantan itu berhubung isu tersebut.

Ibrahim mendakwa Anwar pastinya menokok tambah cerita semasa perjumpaan semalam bagi 'menyedapkan telinga' Nik Aziz.

Sementara itu di GEORGE TOWN, pensyarah kanan Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Prof P.Siva Murugan berpendapat percanggahan pendirian antara Pas dan PKR berhubung isu Israel menandakan keretakan hubungan antara Pas dan Anwar. Menurutnya, dalam masa yang sama, anggota parti yang yakin dengan perjuangan Pas sudah pasti tidak lagi menyokong Anwar kerana isu negara Israel adalah isu sensitif bagi orang Islam.

"Anwar sering salahkan media dan menyatakan kenyataannya diputarbelit tetapi kini Anwar haruslah menjawab kenyataan Nik Aziz mengenai isu itu," katanya kepada Bernama.

Dalam kenyataannya Nik Aziz berkata kewujudan negara haram Israel merupakan suatu kezaliman, tanpa peri kemanusiaan dan menafikan hak umat Islam, malah merampas hak seluruh rakyat Palestin.

"Terserahlah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerima pendirian Pas ini," katanya dalam kenyataan yang disiarkan melalui laman web parti itu www.pas.org.my.

Sementara itu, Pengerusi Biro Antarabangsa Umno Bahagian Sik Datuk Md Jali Lateh ketika dihubungi berkata, dengan pendirian yang dijelaskan oleh Nik Aziz itu, Pas haruslah menilai sekarang siapakah Anwar yang sebenarnya.

"Israel tidak mempunyai hak di bumi Palestin dan negara-negara Islam di seluruh dunia tidak mengiktiraf kewujudan Israel dan kenyataan Anwar itu sangat mengecewakan umat Islam di seluruh dunia," katanya.

Md Jali berkata, jika Pas benar-benar memperjuangkan Islam, mereka haruslah memutuskan hubungan politik dengan Anwar agar parti itu tidak dikaitkan sebagai bersekongkol dengan ketua pembangkang itu. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain