suria

Haram Sekongkol Dengan Israel:Nik Aziz

PETALING JAYA: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa, menegaskan adalah haram bagi mana-mana pihak untuk bersekongkol dengan Israel dalam apa jua bentuk hubungan sekalipun.

Beliau berpendapat Anwar memahami pendirian PAS yang tidak mengiktiraf negara Israel dan perlu menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin.

"Oleh kerana itu tidak berbangkit PAS telah menggadai prinsip perjuangan tatkala bersama Pakatan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan, Rabu.

Menurutnya, beliau yakin Pakatan Rakyat tetap sepakat dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan negara itu daripada cengkaman Israel.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan pada Selasa, Nik Aziz berkata beliau memahami penjelasan Anwar tetapi mengulangi pendirian tidak sesekali mengiktiraf negara Israel seperti yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulama.

"Maka PAS tetap istiqamah menyokong perjuangan rakyat Palestin yang dihina di bumi sendiri. Terserahlah kepada Datuk Seri Anwar untuk menerima pendirian PAS ini," katanya.

Nik Aziz berkata, pendirian PAS adalah wajar kerana kewujudan negara haram Israel merupakan suatu kezaliman, tanpa perikemanusiaan menafikan hak umat Islam dan merampas hak seluruh rakyat Palestin.

"Justeru adalah haram menerima kewujudan negara Israel yang tidak habis-habis menzalimi rakyat Palestin termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua," katanya.

Pertemuan di antara Nik Aziz dan Anwar hampir sejam di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada Selasa turut ditemani Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pada Selasa, Anwar berkata, beliau tidak akan menyaman Wall Street Journal (WSJ) berhubung kenyataannya menyokong segala usaha melindungi keselamatan Israel kerana laporan itu adalah tepat.

"Kenapa saya perlu saman WSJ? Mereka letak perkataan 'contingent' (tertakluk pada syarat) dalam laporan itu," katanya.

Ketua Pembangkang itu berkata, Nik Aziz memahami dan menerima penjelasan beliau mengenai isu Israel sebagaimana yang disiarkan dalam WSJ, bulan lalu.

Artikel Berikut

Artikel Lain