suria

Bekas Pengarah Syarikat Didakwa Buat Pernyataan Palsu Kepada SSM

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah syarikat pengorek pasir pada Rabu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan membuat pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Ashari Md Sarip, 43, bekas pengarah syarikat Utavest Sdn Bhd didakwa membuat pernyataan palsu dalam sebuah borang bertarikh 16 Feb 2009 mengenai peletakan jawatan dua pengarah syarikat itu Nor Hafinar Hayazi dan Noor Fa'ezah Mohd Amir yang diketahuinya bahawa kedua-dua wanita itu tidak pernah pada masa itu meletakkan jawatannya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat SSM, Tingkat 2, 100-18, Putra Place, 100 Jalan Putra di sini di antara 16 Feb 2009 dan 2 Mac 2009, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 364(2) Akta Syarikat 1965, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda RM250,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusof membenarkan Ashari diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Mac ini untuk sebutan.

Terdahulu, pegawai pendakwa SSM Fadilah Abdul Wahab menawarkan Ashari diikat jamin RM15,000.

Peguam Mohd Tajuddin Abd Razak yang mewakili Ashari pula memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya itu juga menghadapi pertuduhan yang sama di mahkamah di Johor Baharu dan dikenakan ikat jamin sebanyak RM10,000. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain