suria

Tiga Rampasan Dadah Dalam Tempoh 24 Jam Di Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Polis menahan tujuh lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam serta merampas pelbagai jenis dadah dan wang tunai berjumlah RM25,600 dalam tiga serbuan berasingan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata, pada serbuan pertama pukul 11.50 pagi semalam, bertindak atas maklumat awam dan risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Timur Laut menahan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 30-an di Jalan Besi di sini.

"Setelah menggeledah kereta itu, polis menemui dua bungkusan dadah dipercayai heroin dan syabu masing-masing seberat 246 gram dan 2.69 gram, 70 biji pil eramin, dan 80 biji pil ectasy bernilai RM14,950 yang disorok dalam but kereta itu.

"Hasil siasatan mendapati lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau atas kesalahan merusuh menggunakan senjata," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata susulan penahanan lelaki itu, polis membuat serbuan kedua di sebuah hotel tiga bintang di pusat bandar dan memberkas dua lelaki berusia 40 tahun dan seorang wanita warga Vietnam berumur 20 tahun.

Gan berkata, dalam serbuan pukul 10.30 malam itu, polis merampas sepaket heroin seberat 3.5 gram, 200 biji pil eramin, enam paket syabu seberat 4.7 gram, 80 biji pil ectasy dan tujuh tiub dadah jenis ketamin dengan jumlah keseluruhan bernilai RM8,233,00.

"Mereka dipercayai mengedar dadah di sekitar negeri ini dan dua suspek lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan dadah," katanya.

Sementara itu, dalam satu kes berasingan, polis menahan empat lelaki berusia 20 tahun yang berkelakuan mencurigakan dalam sebuah kereta di Taman Datuk Syed Abbas, Jelutong pada pukul 3 pagi tadi.

Hasil pemeriksaan polis menjumpai satu bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat ganja seberat 1 kg bernilai RM2,500 yang disorok suspek terbabit di bawah tempat duduk pemandu.

"Pemuda terbabit yang datang dari Kuala Lumpur dipercayai mendapatkan bekalan ganja itu di sini," katanya. Gan berkata, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari dan kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain