suria

Simbah Asid: Nelayan, Penganggur Ditahan

KUALA TERENGGANU: Polis menahan seorang nelayan dan seorang penganggur bagi membantu siasatan kes dua sahabat disimbah cecair asid dalam kejadian awal pagi semalam di Kampung Padang Merchang, Marang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K. Manoharan berkata dua lelaki berusia 39 dan 32 tahun itu ditahan di rumah masing-masing di Kampung Padang Rusa dan Kampung Padang Merchang pukul 7.30 petang semalam.

"Hasil siasatan awal mendapati ia mungkin berpunca daripada perasaan cemburu. Namun kita akan cuba dapatkan maklumat dan keterangan lengkap daripada kedua-dua suspek dan kedua-dua mangsa yang masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)," katanya kepada pemberita, di sini, Isnin.

Manoharan berkata kedua-dua suspek kini ditahan reman seminggu.

Semalam, seorang remaja yang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan seorang rakannya melecur setelah disimbah cecair, dipercayai asid oleh individu yang tidak dikenali.

Kejadian kira-kira 5.10 pagi itu berlaku ketika Mohd Fadzil Hanafi Idrus, 18, dan Shahurzaman Salim, 38, sedang nyenyak tidur bersama empat lagi rakan mereka di sebuah rumah bujang selepas menonton perlawanan bola sepak di televisyen.

Mohd Fadzil melecur di bahagian muka, badan serta kaki manakala Shahurzaman, yang bekerja sebagai nelayan, cedera di muka serta mata, dan mereka kini dirawat di unit kebakaran HSNZ.

Keadaan mereka dilaporkan stabil. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain