suria

Polis Selangor Tumpaskan Sindiket Curi Kenderaan Terbesar

SHAH ALAM: Polis telah berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri kenderaan yang disifatkan sebagai antara yang terbesar di negara ini dalam satu operasi bersepadu minggu lalu.

Ketua Polis Selangor, Timbalan Komisioner, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, dalam operasi tersebut, polis turut menahan 12 suspek, termasuk empat warga Bangladesh dan merampas beribu buah bahagian kenderaan termasuk enjin dan juga badan kenderaan yang telah dileraikan.

Kenderaan-kenderaan curi tersebut ditemui disimpan di Kampung Air Putih, Simpang berhampiran Taiping.

Kesemua suspek ditahan dalam beberapa siri operasi yang dijalankan di Rawang, Sabak Bernam dan Simpang dalam tempoh tiga hari sejak Khamis lalu (16 Feb).

Antara yang berjaya dirampas ialah 1,101 enjin lori, 102 enjin kereta, 1,040 pintu lori, 34 buah kepala lori, 128 buah kereta, dan tiga buah papan pemuka kereta dan 13 anak kunci lori.

Tun Hisan berkata, ini adalah rampasan kenderaan curi yang terbesar oleh Polis Selangor.

“Kami masih lagi meneruskan siasatan untuk mengenalpasti sama ada sindiket ini masih mempunyai tempat persembunyi kenderaan curi yang lain.

“Dan pihak kami juga sedang mengenalpasti dengan lain-lain agensi siapakah pemilik kenderaan ini semua,” katanya kepada para pemberita di ibu pejabat polis negeri di sini.

Kejayaan pihak polis menumpaskan sindiket ini bermula apabila mereka berjaya menahan beberapa orang suspek tahun lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain