suria

Lelaki Larikan MPV Polis Berjaya Ditahan

ALOR GAJAH: Seorang lelaki yang melarikan kenderaan peronda polis (MPV) pada Khamis lepas, berjaya ditahan di Nilai, Negeri Sembilan, petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, lelaki berusia 35 itu ditahan di sebuah rumah kedai di Taman Putra Point, Nilai, pada 6.25 petang hasil maklumat orang awam.

Beliau berkata ketika ditahan, lelaki terbabit mempunyai beberapa kesan kecederaan di bahu, tangan dan kening selain tangan kanannya bersimen akibat kemalangan.

"Suspek kemudian dibawa ke Hospital Alor Gajah sebelum dipindahkan ke Hospital Besar Melaka untuk mendapatkan rawatan," katanya pada sidang media, di sini Selasa.

Katanya lelaki terbabit direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam Khamis lepas, lelaki terbabit yang memiliki beberapa rekod jenayah lampau termasuk dadah hadir ke cawangan polis trafik Alor Gajah untuk membuat laporan setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 14 Feb lepas.

Lelaki terbabit yang menyedari dirinya dikehendaki polis kemudian cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

Bagaimanapun selepas diletakkan di dalam kenderaan MPV polis, lelaki itu bertindak bergerak ke tempat duduk bahagian hadapan dan mengunci pintu depan sebelum melarikan kenderaan tersebut.

Polis yang melancarkan gerakan mencari kemudian menemui kenderaan tersebut di Kampung Panchor di sini, kira-kira jam 2.30 pagi pada keesokan harinya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain