suria

Kelemahan Undang-Undang Punca Wujud Buku Kanak-Kanak Unsur Lucah

PETALING JAYA: Kelemahan dari segi undang-undang dan penguatkuasaan menjadi sebab utama mengapa begitu banyak bahan bacaan kanak-kanak berunsur lucah terutama yang diimport wujud di pasaran negara ini.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman berkata, tidak semua buku yang terdapat di pasaran memerlukan penapisan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Memang ada kelemahan peraturan. Kadang-kadang tak perlu penapisan KDN. Hanya beri salinan kepada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) untuk rekod Nombor Buku Piawai Antarabangsa (ISBN)," katanya kepada mStar Online, Rabu.

Dr Maamor berkata, kerajaan perlu lebih bertanggungjawab terhadap perkara ini bagi mengelakkan minda masyarakat terutamanya kanak-kanak dipengaruhi kandungan lucah melalui buku yang dibaca.

Bagaimanapun katanya, usaha ini tidak terhad kepada KDN, tetapi turut melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), penjual buku, ibu bapa dan masyarakat.

"Kerajaan mesti ada lebih inisiatif. Pihak penguat kuasa juga kena turun padang periksa buku-buku yang dijual.

"Kalau ada yang tak ikut atau langgar syarat, wajar dikenakan tindakan," tegasnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan Pemuda Umno, pada Selasa, supaya mengemas kini Dasar Buku Negara 1998 kerana banyak aduan diterima mengenai kandungan buku-buku bacaan kanak-kanak yang didapati mempunyai unsur lucah.

Tambahnya, perbezaan agama dan budaya menyebabkan tidak semua bahan bacaan import sesuai dibaca masyarakat negara ini.

Katanya, jika pendidikan seks mahu diajar melalui pembacaan, buku-buku perlulah melalui proses penapisan dan melalui pembelajaran di sekolah.

"Ada yang tak sesuai dengan nilai dan pegangan masyarakat setempat.

"Buku yang menggambarkan hubungan seks dengan jelas akan mempengaruhi kanak-kanak. Kalau nak jual, mesti ada mekanisma yang betul seperti jual melalui buku teks sekolah," ujarnya.

Mengulas lanjut, Dr Maamor berkata, isu ini bukanlah baru di Malaysia.

Malah katanya, PPIM turut menerima banyak aduan daripada pengguna yang menyedari kewujudan bahan bacaan seperti ini.

"Kita dapati lebih dari 35 buah buku kanak-kanak di negara ini ada unsur tahyul dan seks," katanya lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain