suria

KDN Rampas 10,000 DVD Cetak Rompak, 3,000 DVD Lucah

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 10,000 keping cakera video digital (DVD) cetak rompak filem Tamil dan 3,000 keping DVD lucah bernilai RM200,000 dalam satu serbuan di sebuah premis di Jalan Tun Sambanthan di sini, Selasa.

Ketua Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan KDN Cawangan Wilayah Persekutuan, Omar Mohd Bahari berkata premis yang mula beroperasi sejak dua tahun lepas pernah diserbu beberapa kali sebelum ini.

"KDN hari ini menemui satu lubang kecil dipercayai stor menyimpan DVD berkenaan yang dibuat sendiri di bahagian dinding belakang premis yang terletak di tingkat dua dan berselindung sebagai rumah kedai yang mengandungi bilik-bilik sewa," katanya kepada pemberita.

Omar berkata anggotanya terpaksa memecahkan dinding stor kecil itu yang disembunyikan di belakang tempat sembahyang pemilik premis bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Beliau berkata stor penyimpanan itu juga dijadikan tempat pembungkusan DVD berkenaan sebelum diedarkan ke kawasan sekitarnya dan serbuan kali ini dibuat setelah mengumpul maklumat daripada orang ramai sejak dua minggu lepas.

"KDN akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui pembekal DVD dan video lucah bagi pasaran tempatan itu kerana ketika diserbu, pemilik premis berjaya melarikan diri," katanya.

Katanya serbuan dibuat mengikut Akta Penapisan Filem 2002 dan boleh didenda tidak kurang RM5,000 sehingga RM30,000 bagi DVD filem manakala bagi video lucah, pengedar boleh didenda RM10,000 sehingga RM50,000 atau tidak lebih lima tahun penjara.

Operasi yang bermula pada pukul 8.30 malam itu berakhir sejam kemudian dengan kekuatan 10 anggota penguatkuasa KDN. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain