suria

Jati Tiada Agenda Tersembunyi - Hasan Ali

SHAH ALAM: Pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) - Jalur Tiga - atau lebih dikenali sebagai 'Jati' Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menegaskan bahawa pertubuhan itu tidak mempunyai sebarang agenda tersembunyi apatah lagi kepentingan peribadi.

Sebaliknya beliau berkata, NGO itu ditubuhkan dengan matlamat mempertahankan agama Islam, bangsa Melayu dan institusi raja-raja (IMR) di negara ini.

"Lupakan saja Jati dan Hasan Ali ada agenda tersembunyi (penubuhan). Itu semua fitnah.

"Agenda saya hanyalah untuk umat Islam dan bangsa saya," katanya pada sidang media yang diadakan selepas majlis pelancaran rasmi Jati dekat sini, Selasa.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Jati, Datuk Aidid Ghazali dan Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria.

Menurut Dr Hasan, Jati menggalas agenda dan tanggungjawab besar untuk menyelamatkan moral, agama dan bangsa Melayu tanpa meminggirkan bangsa dan agama lain.

Jelasnya, NGO itu mempunyai cara dan kaedah tersendiri bagi membantu kerajaan menyelesaikan beberapa masalah yang timbul di negara ini dengan berpaksikan Islam sebagai agama rasmi negara.

"Saya sudah cuba (selidik). Ramai yang tak tahu tentang institusi diraja, di mana letaknya institusi ini dalam perlembagaan negara.

"Juga masalah moral, akidah, syariah, ketirisan dan ekonomi orang Melayu yang masih jauh ketinggalan.

"Itulah agenda dan tugas besar Jati," katanya lagi.

Bekas exco agama kerajaan negeri Selangor itu juga menolak dakwaan bahawa Jati bersifat perkauman.

"Jati bukan rasis. Saya tolak itu semua. Kita tak akan lupa bahawa Malaysia adalah sebuah negara majmuk dan tak akan pinggirkan bangsa asing," tegasnya lagi.

Menurut beliau, satu kumpulan yang dinamakan "ahli kehormat" akan diwujudkan dalam Jati untuk ahli bukan Melayu menyumbangkan input-input tertentu selari dengan perjuangan Jati.

"Mereka boleh hadir mesyuarat, boleh bersama-sama kita. Cuma ada beberapa perkara yang tidak melibatkan mereka," jelasnya.

Beliau turut menjelaskan bagaimana keteguhan IMR mampu membawa Malaysia ke ambang kejayaan tanpa perlu risau tentang unsur perkauman.

"Kita berpegang kepada Islam. Islam tak pernah pinggirkan fahaman sejagat. Islam juga tak izinkan kita pinggirkan agama lain hanya kerana berbeza agama.

"Dalam Islam tak ada yang tersembunyi," katanya.

Sehingga kini pertubuhan ini mendakwa telah mempunyai kira-kira 1,000 ahli yang berdaftar.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain