suria

Pendengaran Awam Selcat Berhubung Kes Pasir Disambung Semula 5 Mac

SHAH ALAM: Sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) berhubung isu penyelewengan pasir melibatkan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB)yang ditangguhkan sebelum ini disambung semula selama tiga hari bermula 5 Mac ini.

Pengerusi Selcat Datuk Teng Chang Khim berkata jawatankuasa itu juga akan mengadakan pendengaran awam terhadap dua lagi kes membabitkan Yayasan Selangor mengenai laporan audit dalaman 2010 dan dua anak syarikat Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) iaitu PKPS Agro Industries Sdn Bhd dan Premium Agro Product Industries Sdn Bhd berhubung pembelian jentera.

Beliau berkata keputusan untuk mengadakan pendengaran awam terhadap tiga kes berkenaan diambil selepas Selcat bermesyuarat pada 16 Februari lepas.

Ketika ditanya sama ada keputusan untuk menyambung pendengaran awam ke atas KSSB dibuat selepas isu itu dibangkitkan oleh Raja Petra Kamaruddin, Teng berkata pihaknya tidak bergantung kepada artikel yang ditulis oleh penulis blog sebaliknya bergantung kepada perkembangan semasa yang memerlukan Selcat menyelesaikan pendengaran ke atas KSSB.

"Kita buat pendengaran ini kerana ada ahli lembaga KSSB sendiri telah buat kenyataan menafikan ada penyelewengan melibatkan beliau, jadi kami rasakan ini membabitkan pentadbiran KSSB kerana ahli lembaga syarikat itu telah buat kenyataan terbuka yang berkaitan dengan pendengaran Selcat yang belum habis," katanya dalam sidang media di sini, Isnin.

Mengulas mengenai pendengaran awam ke atas KSSB yang tidak diteruskan sebelum ini, Teng berkata maklumat yang dibekalkan oleh anggota Parlimen Kapar, S.Manikavasagam mengenai isu penyelewengan pasir di Selangor pada dua tahun lepas memerlukan siasatan jenayah dan bukan penjelasan daripada KSSB.

Justeru beliau berkata Selcat tidak dapat meneruskan pendengaran awam ke atas maklumat yang diberikan oleh Manikavasagam.

Mengenai pendengaran awam ke atas Yayasan Selangor, Teng berkata ia diadakan selepas Selcat memperoleh laporan daripada audit dalaman berhubung pelantikan pengurus besar yayasan itu dan beberapa perkara mengenai pentadbiran oleh pengurus besar berkenaan.

"Ini telahpun disiasat oleh audit dalaman dan berdasarkan laporan itu kita rasakan demi ketelusan dan demi prinsip kebertanggungjawaban maka mereka yang bertanggungjawab dalam pentadbiran Yayasan Selangor perlu dipanggil untuk memberi penjelasan.

"Mengenai pendengaran awam ke atas dua anak syarikat PKPS terbabit, ia melibatkan geran RM180 juta yang diberikan oleh Kementerian Pertanian Asas Tani kepada mereka dan mereka gunakan itu untuk beli jentera dan perkara ini telah dibangkitkan dalam laporan Ketua Audit Negara," katanya.

Ditanya mengenai individu yang akan dipanggil memberi keterangan semasa pendengaran awam itu, Teng tidak menolak kemungkinan akan memanggil kira-kira tiga individu daripada setiap syarikat.

Beliau turut menolak dakwaan atau tuduhan pihak tertentu yang cuba mempolitikkan peranan Selcat serta menegaskan bahawa Selcat yang dianggotai oleh anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari pembangkang dan parti pemerintah tiada bidang kuasa untuk menjalankan siasatan seperti dilakukan oleh pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Teng turut mengalu-alukan kesediaan seorang menteri kabinet untuk memberi maklumat dan bukti berhubung kes pasir yang membabitkan KSSB tetapi menegaskan bahawa individu berkenaan perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan seperti perlu menghadiri pendengaran awam pada tarikh yang telah ditetapkan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain