suria

Malaysia, Thailand Kenal Pasti Enam Bidang Untuk Tingkat Kerjasama

Yingluck Shinawatra (kiri) bertukar dokumen dengan Najib sempena lawatan Perdana Menteri Thailand itu ke Putrajaya, Isnin. Foto AFP
Yingluck Shinawatra (kiri) bertukar dokumen dengan Najib sempena lawatan Perdana Menteri Thailand itu ke Putrajaya, Isnin. Foto AFP
Yingluck Shinawatra (kiri) bertukar dokumen dengan Najib sempena lawatan Perdana Menteri Thailand itu ke Putrajaya, Isnin. Foto AFP

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin berkata, Malaysia dan Thailand telah mengenal pasti enam bidang berpotensi yang membolehkan kerjasama ekonomi dipertingkatkan.

Beliau berkata bidang itu ialah industri automotif; menguruskan industri getah khususnya di kawasan sempadan; jaminan makanan, jaminan tenaga; minyak dan gas; dan pelancongan.

"Selain itu, kedua-dua negara juga bersetuju yang industri halal patut dibangunkan lebih giat lagi," katanya pada sidang akhbar bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Yingluck Shinawatra di sini, Isnin.

Terdahulu, Yingluck yang berada di Malaysia untuk lawatan sehari diberikan sambutan rasmi sebelum beliau dan delegasinya mengadakan mesyuarat tertutup dengan Najib dan delegasi Malaysia.

Najib berkata Thailand pada ketika ini merupakan rakan perdagangan kedua terbesar Malaysia dalam Asean, dengan purata pertumbuhan antara 2011 dan 2010 ialah 13 peratus dan kini terdapat kira-kira 400 firma Malaysia melabur di Thailand.

Kata beliau kedua-dua negara juga bersetuju mengenai perlunya mencergaskan dan memberi nafas baru terhadap mekanisme sedia ada dalam hubungan dua hala yang telah terjalin sejak sekian lama, seperti Suruhanjaya Bersama Kerjasama Dua Hala (JC), Strategi Pembangunan Bersama Kawasan Sempadan (JDS), Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) serta rundingan tahunan antara kedua-dua pemimpin.

Katanya perbincangan turut menyentuh mengenai keperluan mempermudah hubungan rakyat dengan rakyat antara kedua-dua negara dan mempertingkatkan perhubungan di kawasan-kawasan sempadan.

"Sebagai contoh, kini ada dua cadangan, membina jambatan kedua menghubungkan Rantau Panjang dan Sungai Golok; dan Pengkalan Kubor dan Takbai, serta pembangunan kompleks CIQ (kastam, imigresen dan kuarantin) di Bukit Kayu Hitam dan Sadao.

Beliau berkata Yingluck juga berminat dengan idea mewujudkan perkhidmatan bas ulang-alik antara kedua-dua negara bagi kemudahan pergerakan orang ramai.

Najib berkata mereka juga membincangkan mengenai perlunya mencari penyelesaian jangka panjang, berkekalan dan aman di selatan Thailand dan Yingluck meminta Malaysia memberikan apa jua bantuan dan kerjasama yang dapat ditawarkan untuk membantu Thailand mencapai penyelesaian jangka panjang di kawasan itu.

Katanya kedua-dua mereka juga bersetuju bahawa ia merupakan hal ehwal dalaman Thailand dan bahawa penduduk di selatan tidak wajar menuntut negara berasingan dan perlu menolak keganasan dan ekstremisme. "Mereka perlu menjadi warganegara Thailand yang setia dan setia kepada Raja Thailand.

"Dalam parameter asas itu, kita perlu berusaha mencari penyelesaian sesuai daripada segi lebih banyak penyertaan dalam aktiviti ekonomi penduduk di Selatan dan lebih kebebasan bersuara dalam beberapa perkara yang dekat di hati mereka seperti pendidikan, agama dan beberapa perkara berkaitan kebudayaan serta lebih banyak pembangunan dan peluang ekonomi," katanya.

Beliau berkata kedua-dua negara juga menyentuh mengenai masalah dua kewarganegaraan dan bersetuju kedua-dua pihak patut membandingkan pangkalan data mereka supaya mereka boleh mencapai jalan penyelesaian kepada masalah itu.

Yingluck berkata perbincangan hari ini mengesahkan hubungan akrab antara Malaysia dan Thailand dan komitmen bersama mereka untuk memperkukuhkan hubungan dan kerjasama di bawah kaedah dua hala sedia ada bagi menggalakkan perdagangan dan pelaburan, kerjasama "halal" dan pelaburan bersama di negara-negara ketiga.

"Untuk menjadikan hubungan kami lebih aktif, kami perlu membangunkan aktiviti ekonomi perkakasan dan perisian. Ini bukan sahaja menggalakkan kemakmuran ekonomi kepada rakyat di sepanjang kawasan sempadan tetapi juga meningkatkan hubungan serantau," katanya.

Beliau berkata Thailand menyambut baik dan menyokong dasar-dasar Gerakan Kesederhanaan Global yang diilhamkan oleh Najib sebagai satu kaedah untuk memerangi ekstremisme dan menurutnya Thailand percaya kesederhanaan adalah kunci kepada keamanan.

"Sebagai anggota Asean, kami melihat kerjasama kami sebagai kunci kepada pembinaan komuniti Asean, hubungan, keamanan dan kemakmuran serantau, dengan Malaysia di jadual menjadi pengerusi Asean pada 2015," katanya.

"Thailand yakin pelancaran komuniti Asean akan diuruskan dengan baik. Kami melihat Asean sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan kestabilan di rantau Asia Pasifik dalam erti kata yang lebih luas," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain