suria

Kelantan Saman Petronas: Isu Awal Dibicarakan 1 Jun

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, pada Isnin menetapkan 1 Jun tarikh membicarakan isu awal soal perundangan dalam saman yang dikemukakan kerajaan negeri Kelantan terhadap Petronas.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof memutuskan tarikh itu dalam kamarnya setelah menemui peguam Rahayu Mumazaini bagi kerajaan Kelantan dan Peguam Persekutuan Idamaliza Maarof bagi pihak defendan.

Pada 18 Januari lepas Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada permohonan kerajaan persekutuan dan Petronas supaya hakim menentukan kes saman itu diputuskan mengikut isu perundangan.

Kedua-dua pihak itu meminta hakim menentukan kes mengikut isu perundangan di bawah perkara 14A Perintah Mahkamah Tinggi 1980 dan perkara 33 peraturan yang sama tanpa perlu diadakan perbicaraan sepenuhnya.

Kerajaan negeri Kelantan menyaman Petronas kerana dikatakan mengingkari kontrak supaya membayar tunai kepada Kelantan bagi hasil minyak.

Dalam samannya yang dikemukakan pada 30 Ogos 2010, pihak plaintif menamakan Petronas sebagai defendan pertama.

Kerajaan persekutuan bagaimanapun berjaya dalam permohonan mencelah dan dinamakan defedan kedua dalam saman tersebut.

Dalam pernyataan tuntutan, kerajaan negeri meminta Petronas membayar tunggakan dan bayaran tunai di masa akan datang bagi petroleum yang dikeluarkan di luar pantai Kelantan seperti termaktub dalam perjanjian petroleum.

Kerajaan negeri juga menuntut gantirugi dan kos. Bagaimanapun ia tidak menetapkan jumlah keseluruhan yang dituntut daripada Petronas.

Dalam tuntutannya kerajaan negeri itu berkata Perjanjian Petroleum Kelantan yang dimeterai pada 9 Mei 1975 jelas menyatakan bahawa Petronas hendaklah membayar secara tunai lima peratus daripada hasil minyak diperolehi melalui carigali sama ada di kawasan pantai atau luar pantai.

Kerajaan negeri berkata satu perenggan dalam perjanjian itu menyebut bahawa pembayaran hendaklah dibuat secara tunai dua kali setahun pada atau sebelum 1 Mac, atau pada atau sebelum 1 September. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain