suria

Hentikan Sebar Berita Palsu Artis Meninggal Dunia

PADA hari Sabtu lalu (18 Februari 2012) saya menerima banyak kiriman SMS yang bertanyakan adakah benar pelakon veteran Latif Ibrahim telah meninggal dunia?

Ada juga yang tergamak menulis dalam Facebook mengatakan pelakon itu sudah menghembuskan nafasnya yang terakhir sedangkan berita itu belum lagi sahih.

Malah di blog-blog tertentu dan mereka yang terlibat secara langsung dalam industri hiburan sendiri turut menulis status serupa.

Sebenarnya pada ketika berita tidak benar itu tersebar, keadaan Latif yang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) masih stabil.

Saya juga harian daripada manakah penyebar berita tak betul itu mendapat berita tersebut dan sanggup menyebarkannya bagi menimbulkan suasana kurang senang pelbagai pihak.

Bab-bab mati, atau sakit demam bukanlah perkara yang boleh dibuat main.

Kita sepatutnya mendoakan mereka yang sakit supaya diberi kekuatan oleh Allah agar segera sembuh dan bukannya sibuk untuk menjadi “orang pertama” mengucapkan takziah kepada si mati apatah lagi individu yang masih hidup.

Perbuatan itu bukan sahaja tidak baik malah meninggalkan kesan buruk kepada keluarga Latif yang sudahlah tertekan dengan keadaan pelakon veteran itu malah dirumitkan pula dengan andaian yang tidak benar.

Saya sempat berhubung dengan pelakon Liza Abdullah pada malam tersebarnya berita kononnya Latif meninggal dunia.

Kata Liza, kerana tidak senang dengan andaian itu, dia mengambil keputusan bergegas ke IJN untuk melihat sendiri keadaan Latif. Ternyata pada ketika itu Latif masih bernyawa dan sempat lagi berborak dengan Liza.

“Saya sedih kenapa orang suka sangat mempermainkan soal mati. Tak baik,” kata Liza.

Kes seperti ini yang disebarkan bukalah perkara baru. Sebelum ini pelakon Azean Irdawati juga dituduh sudah meninggal dunia. Ahmad Busu juga pernah menerima nasib yang sama.

Budaya menyebar fitnah mengenai mati ini hendaklah dihentikan segera kerana Islam mengajar umatnya agar mendoakan kesejahteraan sesama manusia.

Malah jika mendapat berita mengenai orang yang sakit, kita digalakkan untuk melawat dan mendoakan mereka.

Sehingga pojok ini ditulis pada 20 Februari 2012, keadaan Latif Ibrahim masih lagi kritikal.

Kita sama-sama doakan agar beliau segera sembuh daripada penyakit jantung yang dihadapinya itu.

Berita yang benar mengenai kematian artis hanya boleh dipercayai apabila ia dilaporkan oleh pihak media melalui laporan daripada sumber yang sahih.

Bukan dikutip daripada mana-mana Twitter atau Facebook daripada individu yang kita tidak pasti orangnya.

NIEZAM: Doa semoga Tuhan memberi petunjuk kepada seorang sahabatku...

Artikel Sebelum

Artikel Lain