suria

Hadkan Visa Bantu Polis Bendung Pelacuran Warga Asing

KUALA LUMPUR: Tindakan menghentikan pemberian visa ketibaan dan pas sosial kepada penuntut asing, membantu polis dalam membendung kegiatan pelacuran membabitkan warga asing yang mendakwa menjadi pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) swasta di negara ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata langkah itu adalah tepat dan dalam masa yang sama dapat membantu polis mengekang kegiatan jenayah lain atau salah guna pas berkenaan bagi tujuan maksiat.

"Memang sebelum ini kita bersama Jabatan Imigresen ada membincangkan mengenai perkara ini dan berikan cadangan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar menghentikan pemberian visa atau pas kepada pelajar asing yang ingin memasuki negara sebelum mereka secara sah ditawarkan melanjutkan pengajian ke mana-mana IPT untuk elak mereka salah guna pas tersebut.

"Jadi dengan adanya pelaksanaan seperti ini kita memang sambut baik kerana dapat membantu polis dalam menangani kegiatan jenayah dalam negara terutamanya aktiviti pelacuran yang seringkali membabitkan warganegara asing yang pada awalnya memasuki negara atas alasan untuk melanjutkan pengajian," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media hari ini bahawa Kementerian Pengajian Tinggi menghentikan pemberian visa ketibaan dan pas sosial kepada penuntut asing ke negara ini bagi membendung penyalahgunaan pas berkenaan.

Abdul Jalil berkata dalam kebanyakan kes, mereka yang dikesan terbabit dengan kegiatan jenayah kebanyakannya pelajar yang mengikuti program sementara dan pengajian bahasa di IPT yang bukan di bawah kelolaan KPT.

"Pelajar yang terlibat dengan salah guna visa dan pas ini memang didapati mereka yang belajar kursus-kursus jangka pendek atau mengikuti program sementara seperti pengajian bahasa," katanya.

Bernama pernah melaporkan pada bulan lepas bahawa polis menunjukkan wujud trend baru pelacur wanita dari Timur Tengah menjadikan Malaysia antara destinasi utama aktiviti maksiat mereka dengan menggunakan taktik samaran kononnya untuk belajar bahasa Inggeris menggunakan pas pelajar dengan mendaftarkan diri di institusi pendidikan tinggi swasta.

Pada tahun lepas, polis Bukit Aman menerima 116 kes pemerdagangan manusia dan daripada jumlah itu, 52 kes melibatkan ekploitasi seks, 45 kes perkhidmatan paksa, 10 kes penyeludupan dan eksploitasi untuk visa dan sembilan kes penjualan bayi.

Warga China merupakan jumlah paling ramai ditangkap polis kerana terbabit dalam pelacuran iaitu 5,922, diikuti Vietnam (2,169), Thailand (1,492), Indonesia (1,208), Filipina (750), Myanmar (112), India (67), Kemboja (36), Bangladesh (34), Laos (14), Uzbekistan (12), Nigeria (8), Uganda (4), dan masing-masing seorang bagi Austria dan Taiwan.

Polis turut menangkap 1,801 wanita tempatan kerana aktiviti pelacuran tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain