suria

Kenapa DAP Hanya Berani Tanding Di Kawasan Majoriti Cina Tapi Mengaku Parti Pelbagai Kaum? – Dr Chua

KUALA LUMPUR: Sepanjang pengalaman DAP selama 46 tahun, parti itu hanya berani bertanding di kawasan di mana penduduknya adalah majoriti kaum Cina sehingga mewujudkan satu keadaan yang menyaksikan kaum Cina menentang kaum Cina, kata Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Ini katanya sama sekali tidak mencerminkan imej parti DAP yang mendakwa ia adalah parti berbilang kaum.

Beliau berkata, parti pembangkang itu mempunyai pengalaman hanya dengan mendapat sokongan daripada masyarakat cina.

“Jika kita tinjau masalah mereka, mereka hanya berani bertanding di tempat di mana majoritinya adalah penduduk Cina.

“Mereka beritahu orang Cina, sudah tiba masanya untuk mengajar Umno.

“Tetapi parti pembangkang tidak berhadapan dengan Umno, sebaliknya hanya berani dengan parti-parti di kalangan masyarakat Cina sahaja,” katanya dalam debat dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang disiarkan secara langsung Sabtu.

Dr Chua berkata, DAP sering menguar-uarkan kepada masyarakat bahawa sekiranya parti itu diberikan sokongan maka orang Cina akan semakin kuat dan seterusnya dapat memerintah negara ini.

Hakikatnya ialah ia hanya boleh berlaku di Pulau Pinang sahaja tetapi realiti politik menunjukkan bukan di negeri-negeri lain.

“Ini adalah bayangan palsu bahawa orang Cina di negeri lain boleh menjadi pemimpin. Tetapi secara jujurnya, selain Pulau Pinang, negeri-negeri lain tidak mungkin ada harapan.

“Kita mesti menghadapi kebenaran dalam politik...," ujarnya.

Dr Chua juga menegur Lim yang menyatakan berkata bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang itu mahu sifar pembangkang di negeri pimpinannya pada pilihan raya akan datang.

"Bagaimana negara mewujudkan sistem dua parti apabila ada pembangkang," jelasnya.

Artikel Sebelum

Wanita Ditemui Lemas Di Lombong

Artikel Lain