suria

Lim Jadikan Model Ekonomi P.Pinang Sebagai Senjata Utama Debat

PETALING JAYA: Model ekonomi yang dilaksanakan di Pulau Pinang menjadi hujah dan 'senjata' utama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng dalam debatnya dengan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Debat itu yang berlangsung di Berjaya Times Square, dekat sini dalam bahasa Mandarin (dan diterjemahkan oleh juru bahasa ke bahasa Malaysia) telah disiarkan secara langsung ke seluruh negara oleh Astro Awani.

Lim berkata, rakyat perlu melihat pembangunan ekonomi di Pulau Pinang sebelum membuat keputusan memilih sistem politik dua parti atau sistem politik dua kaum dalam sistem demokrasi Malaysia.

Antara yang dilaungkan termasuklah bantuan RM100 untuk warga emas, bantuan untuk bayi yang baru lahir dan kematian.

"Untuk warga emas kita beri bantuan seratus ringgit untuk rakyat, kemudian kerajaan pusat ikut.

"Selain berterima kasih kepada Presiden (Chua), terima kasih juga kepada kerajaan negeri Pulau Pinang (yang memperkenalkannya)," katanya sambil mendapat tepukan gemuruh daripada para penyokongnya.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP itu berkata, model ekonomi negeri itu sentiasa akan memastikan terdapat keuntungan dicatatkan pada setiap tahun.

Katanya, dengan dasar wang dan meraih keuntungan, rakyat akan mendapat manfaat berterusan daripada kerajaan negeri selain tidak mengamalkan penyelewengan, rasuah dan sentiasa berjimat-cermat.

"Selama empat tahun mentadbir Pulau Pinang, kita sentiasa inovatif untuk mendapatkan lebih banyak wang. Penjimatan yang banyak dapat dikongsi dengan rakyat.

"Inilah sebenarnya model terbaik untuk rakyat," katanya.

Dalam perdebatan yang berlangsung selama satu jam itu, Lim turut menjawab persoalan mengenai pemansuhan Tol Sg Nyiur di Pulau Pinang oleh orang ramai yang mendakwa tidak dilaksanakan seperti yang dijanjikan pembangkang semasa pilihan raya umum lalu.

"Semua iltizam kami telah dilaksanakan. Tol Sg Nyiur adalah hak kerajaan pusat.

"Kalau kami tadbir kerajaan pusat tol utara-selatan (PLUS) dan tol jambatan P. Pinang pun akan dihapuskan," tegasnya lagi.

Dalam pada itu, Lim juga berkata kenyataan kerajaan negeri tidak memberikan tanah kepada sekolah rendah di Pulau Pinang adalah fitnah.

Jelasnya, kerajaan negeri mempunyai peruntukan tahunan untuk tujuan tersebut dan penubuhan sekolah-sekolah jenis menjadi buktinya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain