suria

Debat Dr Chua-Lim: Sistem Dua Parti Baik Tapi Pembangkang Timbulkan Ketegangan Kaum

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berpendapat dalam mana-mana negara demokrasi, sistem dua parti merupakan sistem yang baik kerana terdapat persaingan yang sihat tetapi menegaskan di Malaysia ia menjadi satu masalah besar kerana ketegangan yang ditimbulkan oleh parti pembangkang.

Beliau berkata, selepas pilihan raya umum 2008, parti pembangkang sentiasa memfitnah sehingga mewujudkan suasana politik yang tegang.

“Ini menyebabkan berlaku keretakan hubungan antara kaum kerana tujuan mereka hanyalah untuk merampas kuasa. Parti pembangkang sekarang adalah berbeza dengan parti pembangkang dahulu,” kata Dr Chua dalam debat dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng dengan topik “Adakah Sistem Dua Parti Akan Menjadi Sistem Dua Kaum?” di Hotel Berjaya Times Square di sini, Sabtu.

Dr Chua berkata, DAP mengadakan kerjasama dengan PAS untuk Pakatan Rakyat kerana parti Islam itu mempunyai sumber tenaga yang besar.

Namun beliau yang juga bekas menteri kesihatan menjelaskan bahawa PAS pada hari ini tidak mudah untuk melepaskan kuasa itu dan akan memperkenalkan undang-undang berlandaskan hudud.

“Agama merupakan elemen yang sensitif dalam negara berbilang kaum terutama apabila menjadikan agama sebagai tunjang kepada sebuah negara demokrasi.

“Sama ada dari segi sosial, ekonomi atau pendidikan, semuanya akan menimbulkan kesan-kesan negatif,” katanya.

Dr Chua mengatakan DAP pasti akan berkata: “Jangan khuatir, kami akan atasi perkara-perkara itu, tetapi ia merupakan satu pembohongan yang besar dalam politik.”

“Parti DAP sebenarnya merupakan hamba abdi kepada PAS. Itulah cara yang mereka hendak lakukan,” dakwa Dr Chua.

Perdebatan antara Dr Chua dan Lim yang bermula pada pukul 5 petang itu merupakan kemuncak kepada Forum “Cina Malaysia di Persimpangan Politik” yang dianjurkan bersama oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli), kumpulan pemikir MCA, Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Polisi (Insap).

Moderator debat ialah Ketua Pegawai Operasi Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Tan Ah Chai.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain