suria

CSL: Pakatan Kukuh Makna PAS Yang Untung; LGE: PR Perintah Semua Kaum Untung

KUALA LUMPUR: Perdebatan antara Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dengan saingannya dari DAP, Lim Guan Eng bermula pada jam lima petang Sabtu dengan bekas menteri kesihatan itu menegaskan bahawa jika pakatan pembangkang menjadi semakin kukuh, ia bermakna mengukuhkan PAS.

“PAS yang akan menerajui pakatan ini dan akhirnya akan membawa kepada pelaksanaan hukum hudud di Malaysia," kata Dr Chua membuka perbahasan yang berjudul "Adakah Sistem Dua Parti Akan Menjadi Sistem Dua Etnik."

Debat anjuran Asli dan Insap itu berlangsung di Berjaya Times Square di sini.

Dr Chua menegaskan masalah dengan pihak pembangkang ialah mereka selalu tidak bercakap benar.

“Objektif utama mereka ialah untuk merampas kuasa...tetapi apabila PAS yang menjadi dominan dalam pakatan itu, pihak pembangkang akan berkata jangan khuatir semuanya akan berjalan dengan baik. Malangnya inilah pembohongan politik yang paling besar.

“Kita ambil contoh di Kedah - lelaki dan wanita mesti diasingkan dalam semua urusan. Di Kelatan, tidak boleh ada arak. Di Bangi, Selangor tidak boleh ada panggung wayang. Ini semua jelas membuktikan yang DAP hanya menjadi hamba kepada PAS," tegas beliau.

Guan Eng kemudian menjawab dengan berkata sebaliknya. Katanya Barisan Nasional (BN) sering kali membuat kenyataan yang bercanggah.

"MCA dakwa PAS mempergunakan DAP. Tetapi Umno pula kata DAP yang sebenarnya menggunakan PAS. Sebenarnya kami tidak mempergunakan satu sama lain. Kami hanya bersedia untuk digunakan oleh rakyat.

“Kami tidak menentang mana-mana kaum tetapi hanya menentang kerajaan yang korup tanpa mengira warna kulit,” ujarnya.

Guan Eng seterusnya mendakwa, BN lah pihak yang sebenarnya mengamalkan pakatan etnik berasaskan kaum.

“Konsep Barisan telah membahagikan negara ini kepada Melayu dan bukan Melayu sejak merdeka sehingga sekarang.

“Jika kami diberi mandat memerintah negara, kami akan memperjuangkan hak semua warganegara tanpa mengira kaum kerana kita semua adalah satu keluarga yang besar,” katanya sambil mendapat tepukan gemuruh daripada para penyokong DAP.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain