suria

Proses Ekstradisi Rakyat Iran Bergantung Kepada Undang-Undang - Hishammuddin

KLUANG: Proses ekstradisi rakyat Iran yang dipercayai terlibat dalam beberapa siri pengeboman di Bangkok banyak bergantung kepada undang-undang, kata Menteri Dalam Negeri.

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata proses itu turut bergantung kepada permintaan dan Malaysia bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya dalam hal berkenaan.

"Buat masa ini lelaki Iran terbabit masih berada dalam tahanan kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program mesra rakyat di Kampung Orang Asli Pengkalan Tereh, di sini, Jumaat.

Hishammuddin berkata pihak berkuasa Malaysia ketika ini sedang berhubung rapat dengan kerajaan Thailand dan Iran bagi menyelesaikan hal itu.

Rakyat Iran terbabit, Masoud Sedaghat Zadeh, 31, ditahan pada pukul 3.30 petang Rabu lepas di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di bawah Akta Imigresen ketika hendak berlepas ke Iran, selepas tiba dari Thailand pada malam sebelumnya.

Dia ditahan kerana disyaki terbabit dalam cubaan melancarkan serangan bom di Bangkok pada 14 Februari.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno menyifatkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai memperlekeh Majlis Syura dan kepimpinan PAS kerana sehingga hari ini belum menjelaskan tindakan sokongannya terhadap keselamatan Israel.

"Sekarang PAS yang rakan karib beliau (Anwar) pun sudah minta penjelasan tetapi beliau kata PAS salah faham. Ini perlekeh Majlis Syura dan kepimpinan PAS.

"Tiada jalan lain, beliau kena jawab sama ada beliau iktiraf Israel atau tidak. Beliau juga perlu menjawab kepada negara lain dan pejuang Islam," katanya.

Mengulas ura-ura mengenai dirinya yang bakal dipilih sebagai Menteri Besar Johor, Hishammuddin berkata bukan masanya ketika ini untuk memikirkan spekulasi berkenaan sebaliknya memberikan tumpuan kepada usaha memperkukuh jentera bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

"Ini semua hak dan keputusan Perdana Menteri, jawatan bagi saya tidak penting. Sebaiknya kita mengukuhkan jentera bagi memberikan kemenangan kepada Barisan Nasional," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wanita Terbunuh Dirempuh Kereta

Artikel Berikut

Artikel Lain