suria

Mahkamah Tolak Saman RM160 Juta Terhadap TV3

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi, pada Jumaat menolak saman fitnah RM160 juta oleh sebuah syarikat pemaju perumahan terhadap Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3).

Hakim Siti Khadijah S.Hassan Badjenid membuat keputusan itu selepas mendengar perbicaraan saman itu yang difailkan Koperasi Kakitangan Malaysia Airports Berhad terhadap TV3, penyunting dan penerbit berita ketika itu, Datuk Kamarul Zaman Zainal dan wartawan Puspavathy Ramaloo.

Hakim Siti Khadijah berkata selepas menimbangkan keterangan, bukti dan hujah kedua-dua pihak, mahkamah mendapati plaintif (Koperasi) gagal membuktikan kes terhadap defendan (TV3, Kamarul Zaman and Puspavathy).

"Dengan itu mahkamah menolak tuntutan plaintif. Tiada perintah mengenai kos,' katanya.

Pada 6 April 2007, Koperasi itu memfailkan saman tersebut atas dakwaan defendan telah menyiarkan berita dalam rancangan Buletin Utama pada pukul 8 malam berkaitan perniagaan plaintif yang mengandungi perkataan-perkataan fitnah.

Syarikat itu mendakwa akibat penyiaran berita itu, pihaknya mengalami kerosakan karektor, personaliti dan reputasi perniagaan yang teruk dan memohon ganti rugi sebanyak RM160 juta, kos dan lain-lain relif daripada mahkamah.

Defendan dalam pernyataan pembelaan pula berkata kenyataan itu diterbitkan berdasarkan perlindungan bersyarat dan justifikasi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wanita Terbunuh Dirempuh Kereta

Artikel Berikut

Artikel Lain