suria

Kes Pecah Rumah: Polis Tahan Tiga Lelaki Warga Indonesia

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menahan tiga lelaki warga Indonesia di dalam hutan Templer Saujana, Rawang dekat sini awal pagi ini dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah, selepas melepaskan tiga das tembakan amaran.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata ketiga-tiga lelaki itu telah memecah masuk rumah Jazrina Azmir di Jalan TS 10, Templer Saujana, Rawang, pada 4.45 pagi tadi.

Beliau berkata mangsa telah menghubungi polis serta-merta selepas terdengar orang mengetuk dan cuba memecahkan pintu biliknya di tingkat bawah, setelah kumpulan lelaki itu berjaya memasuki rumah dua tingkat itu.

"Setelah anggota kami tiba di tempat kejadian sejurus kemudian, mereka telah melarikan diri ke hutan berdekatan dan anggota polis berjaya menahan mereka di hutan tersebut," katanya kepada Bernama di sini.

Polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan amaran selepas mereka cuba melarikan diri, katanya. Pemeriksaan di rumah pengadu mendapati gril bahagian depan rumah dipotong tetapi tiada barangan yang hilang. Beberapa perkakas alat pecah rumah turut dirampas dalam tangkapan itu.

Abdul Rahim berkata kumpulan itu dipercayai baru bergiat di sekitar kawasan berkenaan dan polis percaya terdapat seorang lagi suspek yang telah dikenal pasti berjaya melarikan diri dan gerakan memburu suspek di kawasan hutan itu masih diteruskan.

Dalam satu kes lain, seorang lelaki yang baru keluar dari penjara dan mempunyai tiga rekod jenayah rompak dan ragut ditahan polis selepas meragut rantai leher emas yang dipakai oleh seorang wanita, pukul 2 petang, semalam.

Katanya ketika kejadian, Noraishah Minhat, 48, sedang berjalan di Jalan SBC 3, Taman Sri Batu Caves, tiba-tiba mangsa dihampiri dua lelaki tempatan menaiki motosikal, lalu meragut rantai Noraishah.

Katanya salah seorang suspek berumur 26 tahun itu berjaya ditangkap oleh orang awam di situ setelah mangsa menjerit meminta pertolongan.

Namun seorang lagi suspek, berusia 26 tahun, yang berjaya melepaskan diri sedang diburu polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Wanita Terbunuh Dirempuh Kereta

Artikel Berikut

Artikel Lain