suria

BR1M Bantu Keperluan Rakyat - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tan Sri uhyiddin Yassin pada Jumaat menegaskan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dibuat bukan atas faktor politik seperti dakwaan pembangkang, dan ia menjadi bukti ekonomi negara berada pada kedudukan yang kukuh.

Timbalan Perdana Menteri berkata pemberian bantuan itu tidak dibuat secara sesuka hati kerana ia sebenarnya berdasarkan faktor keperluan rakyat yang diintai pada sesi turun padang yang dilaksanakan kerajaan selama ini.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dah kata pemberian BR1M adalah satu perkara yang tak pernah dibuat sebelum ini, bukan kerana kita mahu bagi begitu sahaja tetapi rakyat memerlukan bantuan ini.

"Perdana Menteri juga banyak buat kenyataan bahawa kita ada wang yang cukup, kita sudah kurangkan defisit negara, kita boleh jimat lagi perbelanjaan, ekonomi kita juga telah berkembang 5.2 peratus," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan BR1M kepada 3,500 penerima dalam kawasan Parlimen Batu di Projek Perumahan Rakyat Beringin di sini.

Beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM600,000 untuk pembinaan surau di kawasan perumahan tersebut serta kelulusan secara dasar untuk pembinaan dewan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta.

Muhyiddin berkata perkara itu perlu dijelaskan kerana ada pihak mendakwa BR1M diberikan semata-mata untuk membeli undi ketika pilihan raya.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa BR1M bukan merupakan soal meraih sokongan dalam pilihan raya tetapi bertujuan menangani situasi kehidupan rakyat hari ini.

"Dulu tak bagi sebab kita tak ada kemampuan dan sekarang kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah ada kemampuan. Tujuannya supaya kita dapat kurangkan bebanan rakyat," katanya.

Beliau sekaligus mempersoalkan kritikan pemimpin pakatan pembangkang terhadap segala bantuan yang diberikan kerajaan BN kepada rakyat sedangkan mereka yang dikatakan "prihatin" tidak berbuat apa-apa untuk membantu rakyat, termasuk di negeri-negeri yang diperintah mereka.

Sambil berkata bantuan kepada rakyat bukanlah rasuah, Muhyiddin menarik perhatian bahawa pemberian bantuan kerajaan adalah merentasi kaum, agama dan ideologi politik.

"Kita mahu menjadi negara maju menjelang 2020 dan pada masa sama kita juga mahu rakyat maju dalam segi kehidupan mereka," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Wanita Terbunuh Dirempuh Kereta

Artikel Berikut

Artikel Lain