suria

Wanita Thailand Ditahan Bawa Dadah Di Sungai Petani

ALOR SETAR: Seorang wanita Thailand ditahan polis bersama 20 ketulan mampat daun kering dipercayai dadah jenis ganja di Perhentian Bas Sungai Petani dua hari lepas. Ketika ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda kira-kira pukul 9.45 malam Selasa lepas, wanita yang berumur 35 tahun itu membawa dua beg.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata hasil pemeriksaan pada kedua-dua beg itu, polis menjumpai ketulan-ketulan mampat yang dipercayai dadah jenis ganja dengan berat 19.1 kilogram dan nilai pasarannya dianggarkan RM56,000.

"Suspek menaiki bas dari Changlun ke Sungai Petani dan dipercayai akan meneruskan perjalanan ke Lembah Klang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, Khamis.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati wanita itu baru pertama kali memasuki Malaysia dan mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Suspek kini ditahan reman selama seminggu dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Ahmad berkata polis masih menjalankan siasatan sama ada kes itu mempunyai hubungan dengan dua kes sebelum ini yang melibatkan dua wanita Thailand yang ditahan di Stesen Bas Shahab Perdana dalam tempoh dua bulan tahun ini.

"Daripada ketiga-tiga kes itu, kita berjaya merampas 62 ketulan mampat yang dipercayai dadah jenis ganja dengan nilai pasaran dianggarkan RM175,000," katanya.

Beliau berkata polis masih meneruskan siasatan bagaimana dadah itu dibawa masuk ke negara ini dan percaya ia melibatkan sindiket tetapi tidak pasti sama ada sindiket itu adalah sindiket yang sama atau sebaliknya.

"Kita akan sentiasa membuat pemerhatian khusus terutamanya di sekitar Changlun, Alor Setar dan Sungai Petani yang melibatkan laluan utama bas ekspres," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain