suria

PKNS Lantik Konsultan Kaji Tanah Mendap Di Seksyen 7 Shah Alam

SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan melantik konsultan geoteknikal dan bekerjasama dengan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) bagi mengkaji keadaan tanah mendap di kawasan perumahan di Seksyen 7 di sini.

PKNS berkata ia akan mengambil tindakan susulan secepat mungkin selepas laporan sepenuhnya diperoleh daripada IKRAM dan konsultan yang dilantik.

"Ia termasuk pemindahan sementara penghuni rumah yang terjejas jika diperlukan," kata perbadanan itu dalam kenyataan pada Khamis.

Ia merujuk kepada kejadian tanah mendap yang menjejaskan dua buah rumah di Jalan Plumbum 7/101 A, Seksyen 7 di sini, Isnin lepas.

Kenyataan itu berkata pihak teknikal PKNS telah turun padang pada hari berkenaan sejurus menerima laporan mengenai insiden itu, dan pemaju telah diarah membaik pulih kedua-dua rumah terbabit dengan serta merta.

"PKNS juga akan memastikan semua penghuni diberi bantuan sepenuhnya sementara kerja baik pulih dijalankan," kata perbadanan itu. - BERNAMA

Artikel Lain