suria

Penahanan Warga Iran Bukti Malaysia Serius Tangani Ancaman Pengganas - Hishammuddin

PUTRAJAYA: Penahanan warga Iran, Masoud Sedaghat Zadeh yang dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa siri pengeboman di Bangkok pada Rabu membuktikan Malaysia amat serius dan komited dalam menangani ancaman pengganas serta kegiatan subversif yang terbukti mengancam keselamatan dan ketenteraman sesebuah negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengesahkan penahanan itu berkata, pihak berkuasa negara ini tidak akan sesekali membenarkan Malaysia dijadikan lokasi, pangkalan atau transit kepada pengganas atau individu yang dikehendaki oleh mana-mana negara.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Hishammuddin berkata Masoud, 31, ditahan pada 3.30 petang Rabu di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di bawah Akta Imigresen ketika hendak berlepas ke Iran, selepas tiba dari Thailand pada malam sebelumnya.

"Beliau ditahan kerana disyaki terlibat dalam cubaan melancarkan serangan bom di Bangkok pada 14 Feb lepas," katanya.

Beliau berkata maklumat risikan dari Agensi Perisikan Kebangsaan Thailand mengesyaki Masuod terlibat bersama-sama dua suspek serangan bom yang ditangkap di Bangkok. - BERNAMA

Artikel Lain