suria

Nik Aziz Sopan Tegur Isu Israel - Anwar

SUBANG JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan gesaan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap beliau mengenai kontroversi isu Isreal sebagai 'teguran sopan' yang dipandang serius.

Jelas Ketua Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, beliau menerima baik teguran berkenaan malah sedia bersemuka dengan Nik Abdul Aziz bagi memberi penjelasan mengenai kenyataan kontroversinya yang disiarkan The Wall Street Journal (WSJ) baru-baru ini.

"Tok guru Nik Aziz sopan. Katanya kalau sah, beliau cadangkan tarik balik, kalau tidak...saman.

"Berbeza dengan Umno dan BN. Mereka menipu dengan memadamkan kenyataan saya mengenai hak rakyat Palestin," katanya kepada media ketika ditemui di Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sini, Khamis.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Nik Abdul Aziz seperti yang diputuskan Majlis Syura Ulama PAS iaitu menggesa agar menarik balik kenyataan menyokong sebarang usaha untuk menjaga keselamatan negara Israel.

Malah Menteri Besar Kelantan itu turut meminta Anwar supaya menyaman WSJ sekiranya kenyataan tersebut telah diputar-belitkan oleh media berkenaan.

Difahamkan Anwar yang juga Ketua Pembangkang akan mengadakan pertemuan dengan Nik Abdul Aziz pada minggu depan.

Mengulas mengenai pertemuan yang dilihat dirancang agak lewat, Anwar berkata: "Hari itu saya keluar negara, kemudian saya ke Bangkok sehari dan beliau pun masih di Kelantan."

Bagaimanapun menurut Anwar, beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu berkenaan tengah hari ini.

Baru-baru ini, Anwar dalam temu bual bersama WSJ memberitahu, beliau menyokong segala usaha untuk menjamin keselamatan Israel sekali gus, mengundang kecaman daripada pelbagai pihak.

Namun ketua pembangkang itu berkata, pandangannya selari dengan Resolusi 1397 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Inisiatif Keamanan Arab yang berteraskan penyelesaian dua negara.

Artikel Lain