suria

NFC: Tunggu Selesai Siasatan - Muhyiddin

KUANTAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semua pihak perlulah menunggu sehingga siasatan berhubung isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) selesai dibuat.

Sambil meminta semua pihak supaya bersabar, Timbalan Perdana Menteri berkata, pihak Peguam Negara kelak akan mengumumkan hasil siasatan itu.

"Saya tidak mahu buat komen secara khusus perkara itu, soal ini ada hubung kait dengan siasatan yang dibuat dan belum selesai lagi, eloklah kita bersabar," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan Badan Perhubungan Umno Negeri Pahang di sini, Khamis.

Mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menasihatkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang dibelenggu isu NFC itu agar "jangan sayang kepada jawatan", Muhyiddin berkata: "Itu pandangan bekas Perdana Menteri kita, beliau ada sebab-sebab buat kenyataan itu, kita hormati pandangan itu."

Muhyiddin berkata, beliau tidak mahu "bersangka buruk" dan Shahrizat boleh membuat keputusannya sendiri apabila siasatan itu selesai.

"Kita tak boleh buat andaian, perkara ini masih di peringkat siasatan.

"Kalau selepas itu sudah ada keputusan sama ada menerusi penyiasatan pihak tertentu terlibat (dalam kes berkenaan), kita tidak boleh buat jangkaan (ketika ini), jadi saya tidak boleh sangka buruk, kalau lihat situasinya selepas ini, dan kalau sudah ada keputusan pihak tententu terlibat, Shahrizat boleh buat keputusannya sendiri," katanya.

Semalam, Dr Mahathir berkata Shahrizat, yang juga Ketua Wanita Umno, harus mengambil tindakan sewajarnya demi kepentingan parti.

NFC, yang diterajui suami Shahrizat, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail didakwa menyalahgunakan dana pinjaman daripada kerajaan. - BERNAMA

Artikel Lain