suria

Nama Pengundi Boleh Dipadam Sebaik SPR Terima Laporan Kematian

PUTRAJAYA: Senarai nama warganegara Malaysia yang berdaftar sebagai pemilih kini boleh dipadamkan serta merta oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui satu laporan kematiannya sahaja daripada agensi pengesahan seperti polis.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam berkata perkara dilakukan melalui Agency Link Up System (ALIS) iaitu rangkaian secara online Jabatan Pendaftaran Negara yang saling berhubung dengan pelbagai agensi lain.

"Secara serta merta mereka boleh memadamkan nama seseorang daripada nama senarai pengundi...itu hak mereka, jadi tidak timbul isu pengundi hantu dan sebagainya lagi.

"Maklumat dan data yang berada dalam sistem itu turut dikongsi dengan agensi-agensi lain," katanya kepada pemberita pada majlis Pelancaran Dokumen Baru Daftar Kematian/Permit Mengubur dan Penyampaian Sijil Penghargaan di Jabatan Pendaftaran Negara di sini.

Beliau berkata agensi-agensi yang turut mendapat manfaat melalui rangkaian secara online tersebut adalah Jabatan Perkhidmatan Awam, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Mahmood berkata beberapa pihak yang membangkitkan isu mengenai pengundi dalam sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, mahu supaya JPN mengemaskini daftar kematian.

"Dalam hal ini sebenarnya JPN telahpun melaksanakan dokumen Daftar Kematian dan Permit Mengubur bermula 1 Dis 2011 dan JPN tela pun memaklumkan perkara ini di dalam semua sesi pendengaran awam yang telah diadakan itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain