suria

MB & K'jaan T'gganu Saman Harakah & Adun Batu Burok

KUALA LUMPUR: Kerajaan Terengganu dan dua yang lain menyaman Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan tiga lagi kerana menyiarkan satu kenyataan yang didakwa sebagai fitnah dengan mengatakan mereka telah salah urus kontrak membekalkan pakaian seragam dan peralatan sekolah.

Kerajaan negeri; Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bersama Mek Hawa Abdul Rahman dan Hamie Azreen Ami Nordin (yang menjalankan perniagaan atas nama Hamie Enterprise) telah memfailkan saman itu ke atas Dr Syed Azman; pemegang permit penerbitan Harakah, Datuk Mustafa @ Hassan Ali; Ketua Pengarangnya, Ahmad Lutfi Othman dan pencetak, Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd.

Kesemua plantif mendakwa keempat-empat defendan mempunyai niat jahat ketika menyiarkan artikel yang bertajuk “Seleweng RM30 juta bantuan sekolah?” yang diterbitkan oleh organ rasmi PAS, Harakah dalam keluaran 11-13 November.

Pihak plantif juga menegaskan bahawa keempat-empat defenda itu gagal mengambil langkah-langkah untuk mengesahkan maklumat itu terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk mencetaknya.

Mereka juga berkata, artikel itu membawa maksud yang kerajaan negeri dan menteri besar telah secara salah memperolehi faedah daripada kontrak berkenaan termasuklah menipu pelajar-pelajar miskin dan oleh yang demikian mereka tidak bertanggungjawab dan tidak boleh dipercayai.

Pihak plaintif juga menegaskan artikel itu seolah-olah menuduh Mek Hawa dan Hamie telah bersubahat dengan kerajaan negeri dan menteri besar untuk memperolehi faedah secara salah daripada kontrak tersebut.

Dalam samannya itu, Ahmad Said berkata, penyiaran artikel itu telah menjejaskan reputasinya dan nama baiknya sebagai seorang penjawat awam.

Oleh yang demikian mereka menuntut perintah mahkamah agar pihak defendan tidak lagi mengulangi perbuatan yang sama sama ada di dalam Harakah atau mana-mana penerbitan yang lain serta menuntut ganti rugi di atas kesengsaraan yang mereka terpaksa tanggung akibat daripadanya.

Pada Khamis, Hakim Mahkamah Tinggi, Amelia Tee Hong Geok Abdullah telah bertemu dengan wakil kedua-dua belah pihak di dalam kamar hakim dan mengarahkan mereka memfailkan dokumen untuk sebutan kes.

Abdullah Omar Bawadi bertindak bagi pihak plantif manakala Azhana Mohd Khairudin pula bagi pihak defendan.

Artikel Lain