suria

Krisis Bekalan Air Di Selangor Tidak Akan Berlaku Menjelang 2014

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor memberi jaminan tidak akan berlaku krisis air menjelang 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap, Kesihatan, Pekerja, Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin negeri, Dr Xavier Jayakumar mendakwa, krisis air yang dibangkitkan selama ini merupakan propaganda politik kerajaan Barisan Nasional.

"Ini adalah usaha pihak tertentu untuk meracun pemikiran rakyat Selangor dalam usaha mereka untuk merampas kembali negeri ini.

"Kerajaan negeri berpendapat bahawa projek mega pemindahan air dari Pahang ke Selangor serta tindakan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) memaksa kerajaan negeri meluluskan pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Langat (Langat 2) yang menelan berbilion-bilion ringgit itu tiada tujuan lain.

"Apa yang diketahui ia hanya bertujuan memberi kontrak dan habuan keuntungan kepada syarikat-syarikat kroni yang rapat dengan mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, Rabu.

Menurutnya, kerajaan Selangor dengan menggunakan teknologi rawatan air terkini telah mengenal pasti beberapa punca air yang telah dirawat dan boleh diguna pakai bagi menampung keperluan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Bagi menampung keperluan air kita akan mengambil air mentah dari bekas-bekas lombong yang banyak terdapat di seluruh negeri Selangor, pengambilan air bawah tanah, rawatan dan penapisan air sungai, penggunaan air hujan dan juga air mentah dari takungan hujan.

"Malah kerajaan negeri juga bersetuju dengan cadangan Persatuan Pengguna untuk memaksimumkan penggunaan sumber-sumber air tersebut untuk menampung keperluan harian rakyat Selangor," katanya.

Jelas beliau, cadangan tersebut merupakan alternatif yang lebih bermanfaat dan menjimatkan daripada projek pembangunan infrastruktur pemindahan air dari Pahang yang menelan belanja berbilion ringgit wang pembayar cukai.

Mengulas lanjut, Xavier berkata, kerajaan negeri juga sedang mempercepatkan langkah bagi merawat air sungai untuk penggunaan sektor perindustrian di Selangor.

"Bagi tujuan ini kerajaan negeri telah meluluskan lesen pemindahan air mentah kepada anak syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Konsortium Air Sdn Bhd yang mempunyai trek rekod dan kepakaran teknologi terkini dalam menguruskan dan merawat air.

"Sekali lagi kerajaan negeri memberi jaminan bahawa isu bekalan air tidak akan timbul malah ia mencukupi sehingga tahun 2020," ujarnya.

Justeru, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri akan meneruskan urus tadbir bekalan air bagi memastikan rakyat Selangor terus mendapat manfaat pemberian 20 meter padu air percuma.

Artikel Lain