suria

K'jaan P.Pinang Lantik Firma Singapura Urus Pelaksanaan Projek Perumahan Baru Mampu Milik Di Batu Kawan

BUTTERWORTH: Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melantik sebuah firma konsultansi milik Lembaga Pembangunan dan Perumahan Singapura (HDB) untuk bertindak sebagai perancang skim integrasi perumahan mampu milik yang baru di Batu Kawan, Seberang Perai.

Skim integrasi perumahan mampu milik terancang ini adalah yang pertama seumpamanya di negara ini.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, konsultan tersebut Surbana International Consultants adalah sebuah unit yang diswastakan di bawah HDB.

Beliau juga turut mengumumkan bahawa Batu Kawan, akan dibangunkan sepertimana Bayan Lepas, iaitu sebagai pusat pelaburan baru negeri itu.

Katanya, tiga firma gergasi antarabangsa iaitu Robert Bosch, Boon Siew Honda dan VAT Manufacturing Malaysia telah pun menyatakan persetujuan untuk melabur RM10 bilion di Batu Kawan.

Pelaburan ini, jelas beliau akan membawa bersama-sama peluang pekerjaan baru kepada penduduk sekitar dan juga pembangunan baru.

Guan Eng berkata demikian kepada para pemberita selepas melancarkan projek perumahan Bandar Cassia bernilai the RM2.7 bilion di sini pada Khamis.

Ditanya dengan lebih lanjut mengenai keputusan untuk melantik firma konsultansi dari Singapura itu untuk merancang dan menguruskan pembinaan skim perumahan mampu milik di Batu Kawan, Guan Eng menjelaskan, sayap pelaburan negeri itu - Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang atau PDC - memutuskan mereka tidak mahu meniru atau melaksanakan skim perumahan mampu milik berdasarkan model negara lain tetapi berpendapat adakah lebih baik melantik organisasi yang terbaik dalam mengurus dan merancangkan projek seperti ini membantu merancang dan melaksanakannya.

Beliau memberi jaminan skim perumahan mampu milik itu adalah terbuka kepada semua kontraktor tempatan dan kerja-kerja pembinaan akan ditawarkan menerusi sistem tender terbuka serta sesuai untuk mereka yang berpendapatan sederhana.

“Kita mahu menawarkan kepada rakyat yang berpendapatan sederhana memiliki rumah yang selesa sesuai dengan kemampuan mereka. Sebab itulah kita mahu memastikan projek ini dirancang dengan teliti agar para pemilik dapat memiliki rumah yang boleh dibanggakan pada harga mampu milik,” kata Guan Eng lagi.

Menurut beliau skim ini akan dibina di atas plot tanah seluas 80 hektar yang mampu menampung sehingga 12,000 unit rumah kos sederhana, tiga petak padang bola dan juga taman rekreasi dengan sungai buatan manusia.

Tambahnya lagi, unit-unit rumah yang akan dibina itu adalah berstatus milik bebas dan akan dibina setinggi antara sembilan hingga 16 tingkat.

Harganya pula telah ditetapkan antara RM72,500 hingga RM220,000 dengan kemudahan petak letak kereta percuma.

Menurut ketua menteri itu, Surbana telah memberi komitmen untuk menyelia kemajuan projek tersebut yang dijadualkan untuk dilaksanakan sepanjang tempoh 10 tahun dengan fasa pertama dijangka siap sepenuhnya menjelang 2014.

“Kerajaan negeri akan menguruskan kerja-kerja penyelenggaraan dan pengurusan projek perumahan ini. Perincian mengenai yuran penyelenggaraan ini akan kita putuskan kemudian,” kata Guan Eng.

Beliau juga berharap urusan pelantikan kontraktor utama projek perumahan ini akan dapat diselesaikan menjelang November tahun ini.

Menurut beliau, projek perumahan ini dapat menampung 250,000 penduduk baru.

Artikel Lain