suria

Kementerian Sumber Manusia Diminta Siasat Pemecatan Pengerusi Kesatuan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU) menggesa Kementerian Sumber Manusia menyiasat pemecatan ke atas Pengerusi Kesatuan Pekerja Westports Malaysia yang didakwa dibuat tanpa alasan kukuh. Setiausaha Agung TWU Datuk Zainal Rampak berkata Megat Zamri Megat Abdul Aziz telah diberhentikan kerja secara tidak adil dan TWU percaya Megat Zamri tidak melakukan apa-apa kesalahan yang melanggar undang-undang pelabuhan.

"Menteri Sumber Manusia perlu melihat tindakan tersebut sebagai satu penganiayaan melibatkan perkara yang lebih besar iaitu pelanggaran terhadap hak bersuara dan sistem demokrasi yang dilindungi Perlembagaan.

"Dalam Perlembagaan Perkara 10, terang-terang menunjukkan peruntukan bagi hak untuk bersuara dan berpersatuan," katanya kepada Bernama.

Zainal mendakwa pemecatan Megat Zamri itu mempunyai muslihat bersabit pertikaian antara pihak pengurusan Westport dengan kesatuan dalaman. Megat Zamri adalah seorang pekerja di pelabuhan itu sejak 12 tahun yang lepas dan memegang jawatan pengerusi kesatuan sejak ia diiktiraf oleh pihak majikan pelabuhan itu pada Disember 2010.

Beliau pernah digantung tugas pada 1 Mei 2011 dikatakan sebab menghasut dan dan sekali lagi pada 9 Jan tahun ini kerana menyertai kempen 'Flag of Convenience Seafarer (FOC)' anjuran Majlis Persekutuan Pekerja Pengangkutan Antarabangsa (ITF) yang diadakan di kawasan pelabuhan itu.

Megat Zamri menerima surat pemecatannya Khamis lepas, dua hari setelah tempoh penggantunganya yang terakhir itu tamat. Zainal berkata kempen FOC itu diadakan setiap tahun di seluruh dunia dengan tujuan memeriksa kapal yang berlabuh di setiap pelabuhan bagi mempastikan pengurusan kapal membayar gaji dan memberi insentif secukupnya kepada pekerja.

"Dalam masa kempen itu, Megat Zamri menyertai demonstrasi sebagai ahli jawatankuasa ITF, bercuti dan tidak pula melanggari undang-undang," katanya.

Zainal berkata pihak ITF cawangan Malaysia telah menulis surat kepada ITF Antarabangsa beribu pejabat di London meminta campur tangan mencari penyelesaian adil dalam perkara tersebut.

Megat Zamri ketika ditemui Bernama berkata beliau sedang menimbangkan untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak pengurusan pelabuhan itu. Beliau juga mempersoalkan tindakan pihak pelabuhan itu yang sebelum ini memecat empat orang ahli jawatankuasa kesatuan itu tanpa alasan yang kukuh. - BERNAMA

Artikel Lain