suria

Juruteknik Wanita Meninggal Dunia Akibat Denggi

PUTRAJAYA: Sebanyak 513 kes demam denggi dengan satu kematian dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh 5 hingga 11 Feb lepas iaitu untuk minggu keenam tahun ini berbanding 545 kes dengan empat kematian pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata kematian yang dilaporkan di Selangor itu membabitkan seorang wanita berusia 39 tahun iaitu juruteknik sebuah syarikat komunikasi.

"Tempat kediaman pesakit didapati mempunyai pembiakan Aedes yang tinggi iaitu 2.9 peratus. Masyarakat setempat telah mengambil inisiatif menjalankan gotong-royong bagi membersihkan kawasan dan menghapuskan tempat pembiakan Aedes," katanya dalam satu kenyataan, Khamis.

Dr Hasan berkata lima negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya iaitu Terengganu meningkat daripada 19 kes kepada 46 kes, Perak daripada 36 kepada 39 kes, Perlis daripada tiga kepada lima kes, Sabah daripada 10 kepada 12 kes dan Melaka 15 kes direkodkan berbanding 14 kes pada minggu terdahulu.

Beliau berkata sebanyak 2,926 kes denggi dilaporkan bermula 1 Jan hingga 11 Feb tahun ini, meningkat 79 kes berbanding 2,847 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan persekitaran dalam dan luar premis masing-masing bebas daripada sebarang tempat pembiakan Aedes.

"Kementerian sentiasa menjalankan aktiviti penguatkuasaan dengan memeriksa dari rumah ke rumah dan jika dijumpai bekas atau takungan mengandungi jentik-jentik Aedes, penghuni premis boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, iaitu kompaun maksimum RM500," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain