suria

Jati Bukan Saingan Perkasa - Hasan Ali

SHAH ALAM: Pengasas Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, penubuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu tidak akan menjadi saingan kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) walaupun kedua-duanya dilihat berjuang demi kepentingan Melayu.

Sebaliknya jelas beliau, Jati yang ditubuhkan atas prinsip membela umat Islam, masyarakat Melayu dan sistem beraja sedia bekerjasama dengan mana-mana NGO demi kepentingan tiga elemen terbabit.

"Tak kiralah Perkasa atau sesiapa sahaja, asalkan mereka mahu pertahankan ketiga-tiga elemen itu, Jati sedia bekerjasama dengan mereka.

"Kerjasama mungkin boleh dibuat dengan penganjuran program secara bersama demi kepentingan masyarakat," katanya pada sidang media sempena pelancaran Jati di sini, Khamis.

Jati akan dilancarkan secara rasmi pada 21 Februari ini di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Ditanya mengenai penubuhan Jati yang dilihat seolah-olah menyerupai NGO-NGO lain yang mungkin memperjuangkan isu sama, bekas Exco Selangor itu berkata, beliau tidak melihat perkara berkenaan sebagai penghalang untuk menarik minat masyarakat menyertai gerakan berkenaan.

Jelasnya isu persamaan objektif boleh dibezakan dengan pengisian program yang dirancang dalam memastikan matlamat penubuhannya mencapai sasaran.

"Kita tak bimbang atau ragu mengenai persamaan itu, kita tak kisah pun elemen persamaan.

"Yang akan membezakan Jati dengan NGO lain ialah cara kita amalkannya iaitu melalui program-program yang akan kita buat," katanya.

Artikel Lain