suria

Ibu Maut, Tiga Anak Parah Dalam Kemalangan

BESUT: Seorang wanita terbunuh manakala tiga anaknya yang membonceng motosikal ditungganginya cedera parah dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menjemput dua anaknya dari sekolah.

Dalam kejadian pukul 4.30 petang Rabu, motosikal yang dinaiki empat beranak itu bertembung dengan sebuah kereta di kilometer 3 Jalan Jerteh-Pasir Putih dekat Kampung Padang Landak, di sini.

Kemalangan itu menyebabkan Norhaima Mamat, 44, yang tinggal di Kampung Padang Landak, dekat sini,mati di tempat kejadianakibat kecederaan parah di kepala dan badan, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, DSP Noor Zainy Mohd Noor kepada pemberita di sini.

Beliau berkata pemandu kereta yang dikenali sebagai Yeoh Thean Yunn, 31, seorang jurujual yang berasal dari Pulau Pinang itu tidak mengalami kecederaan.

Sebelum kejadian itu, Norhaima seorang suri rumah pergi ke Sekolah Kebangsaan Padang Landak bersama seorang anaknya yang berumur 4 tahun untuk menjemput dua lagi anaknya pulang daripada belajar kelas agama petang di sekolah itu.

"Dalam perjalanan pulang mangsa telah melintasi satu lorong kecil di satu pembahagi jalan untuk ke sebelah kanan jalan dua hala itu," katanya.

Katanya kereta yang dipandu Yeoh dari arah Pasir Putih, Kelantan dipercayai gagal mengelak lalu melanggar motosikal mangsa yang dinaiki empat beranak itu.

Akibat kejadian itu ketiga-tiga anak Norhaimi cedera parah, dua daripada patah kaki dan ketiga-tiganya dikejarkan untuk rawatan lanjut ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

Tiga anak mangsa dikenali sebagai Nik Mohamad Hafizudin Nik Ismail,10; Nik Muhammad Saifullah, 7, dan Nik Mohamad Haries Haikal,4 tahun.

Noor Zainy menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan jalan raya dua hala supaya tidak melintasi jalan dengan menggunakan lorong-lorong kecil yang dibuat sendiridi atas pembahagi jalan untuk ke satu-satu arah.

Katanya pengguna perlu menggunakan jalan di pusingan U yang disediakan dan bukan sesuka hati melalui lorong-lorong yang dibina sendiri yang kadang kala dilindungi pokok-pokok hiasan jalan menyebabkan pemandu lain tidak dapat melihat mereka. - BERNAMA

Artikel Lain