suria

Enam Sekeluarga Nyaris Maut Rumah Dibakar

KUANTAN: Enam beranak yang sedang nyenyak tidur nyaris maut apabila rumah mereka di Tanjung Api di sini terbakar disyaki akibat perbuatan khianat.

Pegawai Perhubungan Awam Bomba dan Penyelamat Pahang Anuar Hassan berkata pihaknya yang menjalankan sissatan selepas api dipadam, menemui kain yang disimbah dengan minyak tanah.

"Kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.15 pagi dan tiga jentera dengan 17 anggota berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya kira-kira 15 minit kemudian.

"Hanya bahagian bilik yang terbakar, keluarga terbabit dan jiran mereka terlebih dahulu berjaya mengawal kebakaran itu," katanya.

Beliau berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan DSP Kamaruzzaman Jaafar ketika dihubungi turut mengesahkan kejadian itu.

"Kami sedang menjalankan siasatan dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya.

Pemilik rumah itu, Wook Mohd, 62, berkata beliau terkejut dan panik apabila terdengar jeritan anak perempuannya, Rosleda Yasin, 39, memberitahu rumah mereka terbakar.

"Saya bingkas bangun dan mengejutkan ahli keluarga lain untuk menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di sini. - BERNAMA

Artikel Lain